#LG

LG Juga Akan Memperkenalkan Kebolehan Memaparkan NFT Pada Televisyen Pintar Mereka

Diterbitkan pada Sep 5, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

LG dilihat cukup sibuk kebelakangan ini dengan pelancaran sejumlah paparan-paparan skrin terbaru mereka. Walaupun begitu, mereka dilihat akan mengikuti jejak langkah Samsung dalam memperkenalkan sebuah ciri baru yang akan membolehkan pemilik televisyen tersebut untuk memaparkan NFT milik mereka pada televisyen-televisyen ini.

Platform pemaparan dan jual-beli NFT ini dinamakan LG Art Lab iaitu sebuah aplikasi yang dibangunkan khusus untuk mereka yang memiliki televisyen yang boleh menggerakkan sistem operasi WebOS 5.0 khusus untuk pasaran Amerika Syarikat buat masa ini.

Melalui aplikasi ini, selain daripada memaparkan NFT, pengguna juga boleh menjual-beli aset digital tersebut, dan LG akan mula memperdagangkan NFT mereka sendiri melalui aplikasi LG Art Lab ini pada 22 September ini.

LG mengatakan bahawa untuk urusan jual-beli, pengguna akan perlu memuat-turun dompet kriptowang Wallypto dan jual-beli hanya akan dilakukan dengan kriptowang USD Coin. LG juga menggunakan rantaian blok Hedera, dimana LG telah menjadi ahli penaung sejak 2020.

komen


© Amanz / 2022 Kami