Cari @ Amanz

Siri tablet premium Microsoft Surface secara lazimnya hadir dengan penawaran Surface Pro untuk peranti yang dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel dan juga Surface Pro X untuk model yang dikuasakan oleh cip pemprosesan ARM, khususnya keluaran Qualcomm.

Untuk model Surface Pro 9, Microsoft dijangka akan menggabungkan penawaran kedua-dua cip pemprosesan ini dibawah model tersebut, dan tidak lagi akan melancarkan model Surface Pro X.

Microsoft Surface Pro 9 akan diperkenalkan dengan pilihan cip pemprosesan Intel Alder Lake P dan juga pilihan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8cx Gen3 yang diubahsuai dan akan diberikan nama Microsoft SQ3.

Dari segi rekaan, tablet Surface Pro 9 ini dijangka akan hadir dengan rekaan yang sama seperti Surface Pro 8, tetapi dari segi sambungan, terdapat kebarangkalian ia akan hadir dengan pilihan sokongan untuk rangkaian 5G, sesuatu yang baru untuk siri tablet ini.

Laporan Windows Central juga tidak mengatakan apa-apa mengenai perubahan kepada rekaan Surface Pro 9 ini, tetapi kebarangkalian besar bahawa papan kekunci Type Cover akan hadir dengan pilihan warna baru yang akan diumumkan kelak.

Buat masa ini, masih tiada pelan untuk memperkenalkan Surface Pro dengan cip pemprosesan AMD, tidak seperti Surface Laptop.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd