Ura-ura mengenai kewujudan OnePlus Nord Watch sudah kedengaran sejak awal tahun lalu. Ia kemudiannya ditemui tersenarai di aplikasi N Health dan seterusnya mula diperlihatkan menerusi beberapa imej pengolokan tular pula. Bukan satu sebaliknya terdapat sehingga lima rekaan jam tangan yang didedahkan ketika itu.
Bercakap dengan lebih lanjut, jam tangan ini sekali lagi didapati tertiris menerusi satu imej tular yang memperlihatkan reka bentuknya dengan lebih jelas. Melaluinya muka jam berbentuk segi empat dengan tali unik digunakan. Skrin adalah sejenis melengkung dengan satu butang fizikal yang turut disertakan untuk kawalan beberapa ciri utama. Tidak ketinggalan, ia dijangka tiba dalam tiga pilihan warna berbeza seperti emas, hitam dan putih.
Menurut jangkaan awal, jam tangan ini kelak menyokong pelbagai sensor pemantauan kesihatan dan kecergasan terbina. Ini termasuklah sensor SpO2, pamantauan kadar degupan jantung, penjejakan waktu tidur dan sebagainya, Turut disertakan adalah sambungan bluetooth 5.2, di samping penggunaan aplikasi N Health adalah diperlukan untuk kawalan lebih menyeluruh. Harga jualan untuknya pula dikhabarkan sekitar INR5,000 (~RM281) hingga INR8,000 (~RM450) seutas.