Monitor Samsung Odyssey Ark Dijual Di Malaysia Pada Harga RM13999 – The Freestyle Diberikan Percuma

Diterbitkan pada Sep 5, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Monitor Samsung Odyssey Ark dilancarkan ke pasaran Amerika Syarikat dua minggu lalu sebagai monitor gaming melengkung melampau dengan kemampuan diputar menegak seperti Samsung Sero. Bagi penduduk Malaysia yang berminat, Odyssey Ark dijual di Malaysia pada harga RM13,999 sebuah dengan pra-tempahannya akan dibuka dari 8-18 September ini. Dengan setiap pembelian, sebuah projektor The Freestyle turut akan diberikan secara percuma dengan ia sebelum ini dijual pada harga RM4999 sebuah.

Skrin monitor ini sebesar 55″ dari jenis Quantum Mini LED, melengkung 1000R dan menyokong sehingga kadar segar semula 165Hz. Dengan rekaan melengkung, pandangan pengguna sentiasa pada sudut tepat bagi mendapatkan pengalaman visual yang paling optimum.

Ia mampu memaparkan visual pada resolusi 4K 120FPS HDR10+ yang pastinya akan memenuhi keperluan peminat permainan video yang paling tegar. Sokongan AMD FreeSync Premium Pro turut disertakan untuk memastikan visual tidak terkoyak atau tidak lancar semasa sesi permainan.

Skrin masih lagi menggunakan nisbah 16:9 dan boleh dibahagikan kepada empat sektor masing-masing sebesar 27″. Terdapat 4X HDMI 2, 2X USB-A, output audio optikal dan LAN. Dari segi audio pula ia turut menyokong Dolby Atmos menerusi sistem audio 2.2.2 dengan output 60W.

Orientasi skrin boleh diubah dari kedudukan landskap ke potret sekiranya diperlukan. Imej akan secara automatik menyedari perubahan ini dan memastikan kandungan tidak senget 90 darjah. Pada orientasi menegak ini, pengguna boleh menonton video TikTok, Shorts dan Reels dengan nisbah yang betul.

Sebuah Arc Dial diberikan dengan setiap pembelian bagi membolehkan pemilik mengubah pelbagai tetapan skrin terus dari alat kawalan jauh khas ini. Sambungan input juga mudah menggunakan kotak Samsung One Connect yang sebelum ini ditawarkan pada televisyen pintar mereka. Jika tidak digunakan sebagai monitor komputer dan konsol, Odyssey Arc masih boleh berfungsi sebagai televisyen pintar kerana menggunakan sistem operasi Tizen.

Samsung Gaming Hub yang terbina membolehkan ia menstrim permainan video dari Stadia, Luna, Xbox Cloud Gaming dan GeForce Now. Sementara itu ciri Game Bar pula memberikan akses pantas untuk mengubah tetapan visual biasa permainan video.

komen


© Amanz / 2022 Kami