Acara pelancaran hari ini memperlihatkan Poco M5 dan Poco M5s akhirnya diperkenalkan secara rasmi secara global. Kedua-duanya mempunyai penawaran yang berbeza baik dari aspek rekaan mahupun perkakasan dalaman. Ini bagi membolehkan pengguna mempunyai pelbagai pilihan yang menepati citarasa mereka.
Bermula dengan Poco M5, ia dilengkapi tubuh berkotak dengan padanan skrin rata dan bertakuk kecil. Melaluinya skrin sebesar 6.58-inci LCD FHD+ digunakan dengan kadar segar semula 90Hz. Cip MediaTek Helio G99 turut digunakan dengan padanan memori sehingga 6GB RAM (LPDDR4X), storan dalaman mencapai 128GB (UFS 2.2) dan teknologi Game Turbo 5.0. Kapasiti bateri pula sebesar 5,000mAh yang menyokong sistem pengecasan 18W.
Turut disertakan adalah sistem tri-kamera dengan tetapan 50MP (utama) + 2MP (makro) + 2MP (kedalaman) dan kamera hadapan 5MP. Tidak ketinggalan, peranti juga dimuatkan dengan beberapa ciri lain seperti NFC, IR Blaster dan sambungan bluetooth 5.3. Sebagai pilihan, Poco M5 tersedia dalam warna seperti Black, Yellow dan Green.
Seterusnya, Poco M5s pula didatangkan dengan tubuh nipis bersama panel hadapan berlubang pada bahagian tengah. Melaluinya, skrin AMOLED bersaiz 6.43-inci digunakan dengan sokongan kadar segar semula standard 60Hz. Ia kemudiannya dipadankan dengan cip MediaTek Helio G95, memori sehingga 6GB RAM, storan dalaman mencapai 128GB dan bateri 5,000mAh.
Turut disertakan adalah kuad-kamera di belakang dengan tetapan 64MP + 8MP + 2MP + 2MP dan kamera hadapan 13MP. Dalam masa sama, kamera Poco M5s menyokong kebolehan merakam video mencapai 4K. Tidak ketinggalan, peranti juga dimuatkan dengan sistem pembesar suara stereo, penarafan kalis air IP53, IR blaster, NFC dan bicu audio 3.5mm.
Untuk harga, Poco M5 dijual bermula €169 (4GB/64GB) (~RM753), €189 (4GB/128GB) (RM843) dan €209 (~RM932) (6GB/128GB). Sementara itu, Poco M5s pula berharga €189 (~RM843) (4GB/64GB), €209 (~RM932) (4GB/128GB) dan €229 (6GB/128)(~RM1,021).