Sejak revolusi 1979, pemakaian tudung oleh wanita adalah diwajibkan di Iran. Kegagalan menutup kepala boleh menyebabkan wanita didenda atau dalam kes lebih serius dipenjara. Terkini menurut laporan The Guardian, kerajaan Iran akan menggunakan teknologi pengecaman wajah untuk mengenalpasti dan kemudiannya menghukum wanita yang tidak menutup aurat di kawasan awam.
Kamera dengan teknologi ini akan diletakkan di kawasan dan kenderaan pengangkutan awam. Garis panduan pakaian yang dibenarkan dan pemakaian tudung oleh wanita telah diperketatkan di Iran. Ini mewujudkan gelombang protes dimana wanita membuka tudung di kawasan awam dengan video kemudian disebarkan ke media sosial.

Teknologi pengecaman wajah akan membantu pihak berkuasa khususnya Jabatan Mempromosikan Kebajikan dan Mencegah Maksiat untuk mengenalpasti pesalah sebelum menghukum mereka.
Selain sistem pengecaman wajah, kakitangan kerajaan wanita juga akan dipecat sekiranya gambar profil media sosial mereka tidak mematuhi undang-undang syariah. Wanita yang didapati tidak menutup aurat di media sosial pula boleh dipenjara sehingga setahun. Akses untuk memasuki premis pejabat kerajaan, bank dan pengangkutan awam juga akan dihalang sekiranya gagal menutup aurat.
Sistem yang digunakan di Iran ini mirip dengan sistem yang digunakan di China untuk menghukum rakyat yang melanggar undang-undang dengan kredit sosial akan dipotong sehingga menyebabkan mereka dihalang dari membeli tiket kapal terbang, kereta api atau keluar negara.
- Sumber
- – Sumber – The Guardian dan Radio Free Europe