Cari @ Amanz

Xiaomi Smart Speaker dengan IR Control turut diperkenalkan di Malaysia. Ia merupakan pembesar suara pintar yang disertakan dengan IR Blaster terbina bagi membolehkan pengguna mengawal peranti tertentu menggunakan suara. Bagi yang berminat, ia boleh dibeli pada RM199 sebuah dan jualan pertama bermula pada 16 September 2022.

Pembesar suara pintar ini didatangkan dengan tubuh yang kompak dengan berat sekitar 628 gram. Ia kemudiannya dipadankan dengan empat butang untuk kawalan beberapa ciri utama seperti kelantangan audio, muzik dan mikrofon. Turut disertakan adalah paparan jam digital LED yang dilengkapi ciri DND dan kebolehan mengubah kecerahan secara automatik agar sepadan dengan pencahayaan sekeliling,

Seterusnya, ia juga mempunyai pembesar suara dan mikrofon jarak penuh bersaiz 1.5 inci yang memudahkan proses arahan suara daripada jauh. Dalam masa sama, ciri yang membolehkan pengguna memasang pembesar suara ke peranti lain yang serasi untuk kesan bunyi stereo turut boleh dilakukan.

Tidak ketinggalan, sokongan Google Assistant juga disertakan sekaligus membolehkan pengguna mengawal peranti rumah pintar yang lain. Sebagai piliha, aplikasi Xiaomi Home atau Mi Home turut boleh digunakan untuk kawalan ini.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd