Siri kad grafik Intel Arc Alchemist sering memperlihatkan masalah penundaan kerana pelbagai isu yang membelenggu pengeluarannya. Akan tetapi, Intel kini mengesahkan bahawa salah-satu daripada kad grafik tersebut, iaitu Intel Arc A770 akan dilancarkan tidak lama lagi.
Intel Arc A770 merupakan kad grafik kelas pertengahan yang dijangka akan bersaing dengan kad grafik seperti NVIDIA GeForce RTX 3060 dan AMD RX 6600XT. Ia tampil dengan spesifikasi 32 teras Xe dan mempunyai pilihan untuk memori GDDR6 sebanyak 8GB ataupun 16GB bergantung kepada model yang dipilih.
Pembangun kad grafik nampaknya boleh memilih untuk membangunkan kedua-dua model ini untuk para pengguna yang memerlukan model dengan memori yang lebih ataupun yang lebih sedikit bergantung kepada kemampuan mereka.

Sayangnya kad grafik ini tidak hadir dengan sokongan untuk HDMI 2.1, tetapi sebuah penyesuai DisplayPort 2.0 ke HDMI 2.1 boleh digunakan untuk memberi sokongan kepada paparan-paparan dengan resolusi dan kadar segar semula yang lebih tinggi.
Lebih penting lagi ialah kad grafik Intel Arc A770 ini perlu dipadankan dengan komputer yang mempunyai fungsi Resizable BAR (Base Address Register) untuk membolehkan keseluruhan memori kad grafik ini boleh dihantar secara terus kepada CPU untuk meningkatkan prestasi gaming sesebuah komputer.
Buat masa ini, fungsi Resizable BAR ini dapat diperlihatkan pada kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3000 dan cip pemprosesan Intel generasi ke-10 dan AMD Ryzen 5000. Untuk Intel Arc A770, sokongan Resizable BAR ialah wajib kerana prestasi kad grafik ini akan merudum sekiranya CPU tidak boleh menyokong teknologi tersebut.
Walaupun ia akan dilancarkan dalam masa terdekat ini, Intel masih belum mengesahkan bilakah kad grafik ini akan mula dijual, dan juga tanda harganya.