Cari @ Amanz

Huawei Mate 50 dan Mate 50 Pro telah dilancarkan secara rasmi hari ini sebagai telefon pintar pertama dari Huawei yang menyokong sistem panggilan telefon menggunakan satelit. Sistem ini membolehkan pengguna melakukan panggilan telefon apabila tiada rangkaian selular biasa boleh dicapai. Selain panggilan telefon, penghantaran mesej kecemasan boleh dilakukan juga selagi terdapat akses kepada satelit Beidou 3.

Huawei Mate 50 ialah model dengan skrin 6.7″ OLED FHD+ 90Hz, cip Snapdragon 8+ 4G, memori 8GB RAM, storan sehingga 512GB dan bateri sebesar 4460 mAh yang menyokong pengecasan pantas 66W berwayar, 50W nirwayar dan 7.5W berbalik.

Kamera utama menggunakan sistem XMAGE buatan Huawei sendiri selepas kerjasama dengan Leica berakhir tahun ini. Pada bahagia belakang sensor 50MP OIS sudut lebar, 13MP ultra sudut lebar, dan telefoto 12MP OIS. Sensor 50MP hadir dengan sistem bukaan boleh diubah f/1.4 ke f/4.0. Sementara itu sistem telefoto pula boleh melakukan zum optikal 5X dan zum digital sehingga 50X. Sementara itu di hadapan kamera sebesar 13MP digunakan dengan ia diletakkan dalam lubang skrin yang kecil.

Sementara itu Huawei Mate 50 Pro pula hadir dengan skrin 6.74″ OLED FHD+ 120Hz, cip Snapdragon 8+ 4G, memori 8GB RAM, storan sehingga 512GB dan bateri sebesar 4700 mAh yang menyokong pengecasan pantas 66W berwayar, 50W nirwayar dan 7.5W berbalik.

Kamera utama juga menggunakan sistem XMAGE tetapi sensor utama 50MP OIS sudut lebar, 13MP ultra sudut lebar, dan telefoto 64MP OIS. Sensor 50MP hadir dengan sistem bukaan boleh diubah f/1.4 ke f/4.0. Sementara itu sistem telefoto pula boleh melakukan zum optikal 3.5X dan zum digital sehingga 100X.

Kamera hadapan 13MP dipadankan dengan sistem imbasan wajah 3D yang diletakkan pada takuk yang bersaiz besar. Peranti ini juga hadir dengan kemasan logam dan juga kulit vegan di belakang. Kedua-dua peranti mercu ini menggunakan sistem operasi terkini HarmonyOS 3.0 serta mempunyai kemampuan kalis air IP68.

Harga jualan Huawei Mate 50 bermula daripada RMB4999 (~RM3238) untuk storan 128GB dan meningkat ke RMB6699 (~RM4340) untuk 512GB dengan kulit vegan. Sementara itu Huawei Mate 50 Pro pula dijual pada harga RMB 6799 (~RM4404) untuk 256GB dan meningkat ke RMB7999 (~RM5282) untuk 512GB kulit vegan.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd