Cari @ Amanz

Acara pelancaran hari ini memperlihatkan Realme hadir dengan telefon pintar baharu di bawah siri C untuk pasaran India. Melaluinya, Realme C33 telah diumumkan dengan beberapa ciri utama seperti kamera utama 50MP dan bateri 5000mAh.

Untuk lebih khusus, ia dilengkapi skrin LCD sebesar 6.5-inci dengan nisbah skrin-ke-badan mencapai 88.7%. Turut disertakan adalah cip Unisoc T612 dengan padanan memori sehingga 4GB RAM dan storan dalaman mencapai 64GB. Bateri yang digunakan turut menyokong sistem pengecasan 10W menerusi sambungan port mikroUSB.

Kamera utama pula terdiri dengan 50MP (utama) + 2MP (makro), manakala kamera hadapan adalah sebesar 5MP. Tidak ketinggalan, peranti ini turut dimuatkan dengan beberapa ciri lain seperti sambungan bluetooth 5.0, bicu audio 3.5mm, pengimbas cap jari sisi dan menjalankan Realme UI S berasaskan Android 12.

Untuk harga, Realme C33 dijual bermula INR8999 (~RM507) (3GB/32GB) dan INR9999 (~RM563) (4GB/64GB) dengan beberapa pilihan warna seperti Aqua Blue, Night Sea serta Sandy Gold.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd