Carian
Huawei Mate 50 RS Turut Dilancarkan Dengan Snapdragon 8+ 4G Dan Tubuh Seramik
September 6, 2022 Effi Saharudin

Selain Huawei Mate 50 dan Mate 50 Pro, Huawei Mate 50 RS juga dilancarkan sekali hari ini dengan ia adalah model mercu paling premium ditawarkan. Seperti Mate 50 dan Mate 50 Pro, Mate 50 RS juga mampu melakukan panggilan satelit apabila tiada rangkaian selular dengan keunikannya terletak pada tubuh yang diperbuat daripada seramik seperti model RS yang terdahulu.

Huawei Mate 50 RS adalah sebuah Mate 50 Pro dengan rekaan tubuh yang lebih premium. Makaia berkongsi skrin 6.74″ OLED FHD+ 120Hz, cip Snapdragon 8+ 4G, memori 8GB RAM, storan sehingga 512GB dan bateri sebesar 4700 mAh yang menyokong pengecasan pantas 66W berwayar, serta 50W nirwayar. Tiada sokongan pengecasan nirwayar berbalik disertakan pada model yang direka dengan kerjasama Porsche Design.

Kamera utama juga menggunakan sistem XMAGE tetapi sensor utama 50MP sudut lebar, 13MP ultra sudut lebar, dan telefoto 64MP. Sensor 50MP hadir dengan sistem bukaan boleh diubah f/1.4 ke f/4.0. Sementara itu sistem telefoto pula boleh melakukan zum optikal 3.5X dan zum digital sehingga 100X.

Kamera hadapan 13MP dipadankan dengan sistem imbasan wajah 3D yang diletakkan pada takuk yang bersaiz besar. Peranti ini juga hadir dengan kemasan logam dan juga kulit vegan di belakang. Kedua-dua peranti mercu ini menggunakan sistem operasi terkini HarmonyOS 3.0 serta mempunyai kemampuan kalis air IP68.

Harga jualan Huawei Mate 50 RS bermula daripada RMB12,999 (~RM8421) dalam pilihan warna seramik hitam dan putih.

Komen