Carian
Insulin Dalam Bentuk Tablet Berjaya Dibangunkan
September 7, 2022 Effi Saharudin

Pesakit diabetes jenis 1 perlu menyuntik insulin ke dalam tubuh beberapa kali sehari yang merupakan proses yang menyakitkan serta mendatangkan risiko. Tetapi penyelidik dari University of British Columbia telah berjaya menghasilkan insulin dalam bentuk tablet yang akan mengurangkan risiko yang disebutkan tadi.

Dalam ujian yang dilakukan ke atas tikus makmal, 100% insulin dalam bentuk tablet berjaya disampaikan ke organ hati tanpa ia memasuki bahagian perut. Tablet tidak ditelan sebaliknya diletakkan antara gigi dan pipi. Insulin akan diserap dari pipi terus ke dalam tubuh dalam masa 30 minit. Ia kemudiannya berkesan selama empat jam.

Insulin dalam bentuk tablet dibangunkan oleh Dr. Anubhav Pratap-Singh selepas melihat bapa beliau seorang pesakit diabetes perlu menyuntik diri selama sedekad. Selain memudahkan kehidupan pesakit, insulin dalam bentuk tablet akan mengurangkan kos dan mengurangkan juga sisi plastik serta jarum picagari yang tidak terlerai dengan mudah.

Kejayaan masih lagi pada tikus makmal tetapi penyelidik kini ingin memulakan ujian pada manusia untuk melihat keberkesanannya. Laporan kajian telah diterbitkan dalam jurnal Nature.

Komen