Sony dan Samsung adalah dua syarikat pengeluar peranti pintar yang menawarkan aplikasi kamera khusus untuk peminat fotografi yang serius. Aplikasi Pro Camera dan Expert RAW menawarkan kawalan kamera manual yang lebih terperinci tanpa bantuan sistem kecerdasan buatan. Malang sekali ianya khusus pada peranti tertentu sahaja. Menurut laporan CNET, Adobe sedang membangunkan aplikasi kamera khusus untuk golongan profesional.

Lebih menaik mengenai projek yang belum didedahkan namanya ini ialah ia dibangunkan oleh Marc Levoy yang merupakan mantan ketua pembangunan kamera Google Pixel. Selepas meninggalkan Google beliau menyertai Adobe sebagai timbalan presiden. Beliau juga bertanggungjawab mempopularkan terma fotografi perkomputeran (computational photography) yang menggunakan kecerdasan buatan untuk meningkatkan kualiti gambar yang ditangkap.

Pembangunan masih di peringkat awal maka butiran lengkap yang akan hadir pada aplikasi Adobe masih lagi belum diketahui. Namun begitu ia pastinya dinantikan kerana Adobe memang terkenal dengan aplikasi fotografi mereka dan Levoy pula ialah legenda yang berjaya meletakkan Pixel sebagai peranti kamera yang baik walaupun menggunakan perkakasan yang lebih rendah.