Redmi sedia hadir dengan komputer riba tersendiri dan hari ini satu lagi penawaran baharu menerusi Redmi G Pro Ryzen Edition. Seperti generasi sebelumnya, ia turut memberi fokus terhadap penawaran permua dalam memenuhi keperluan para gamers.

Untuk spesifikasi, komputer riba ini dilengkapi skrin 16-inci beresolusi 2.5K (2560 x 1600 piksel) dan kadar segar semula 240Hz. Turut disertakan adalah sejumlah ciri tambahan lain seperti nisbah skrin-ke-badan sebanyak 91%, sokongan gamut warna 100% sRGB, kecerahan puncak 500nit, warna 10bit, DC Dimming dan pensijilan HDR 400.
Seterusnya, cip pemprosesan AMD Ryzen R76800H digunakan dengan padanan GPU RTX 3060, memori 16GB dwi-saluran DDR5-4800 RAM dan storan 512GB PCIe 4.0 SSD. Di samping itu, ia turut dimuatkan dengan empat saluran paip haba dan dwi-kipas 12V bagi memastikan suhu dapat dikekalkan dengan baik meskipun pada penggunaan ekstrem.

Tidak ketinggalan, komputer riba ini juga dimuatkan dengan bateri sebesar 80Wh yang menyokong pengecasan pantas 33W dan sistem operasi Windows 11. Pilihan I/O pula terdiri dengan port USB-C dengan sokongan PD 100W, 3 X USB-A 3.2 Gen2, 1 x USB-A 2.0, port Mini DP 1.4, port HDMI 2.0, slot kad SD dan bicu audio 3.5mm.
Untuk harga, Redmi G Pro Ryzen Edition dijual di China pada RMB7,599 (~RM4902) sebuah.