Cari @ Amanz

Apple hari ini turut memperkenalkan sebuah jam tangan pintar menyasarkan mereka yang terlibat dengan aktiviti lasak, eksplorasi luar, dan gaya hidup aktif, dinamakan Apple Watch Ultra.

Apple Watch Ultra hadir dengan rekaan yang dikemaskini dengan skrin lebih besar, serta sebuah butang khusus baharu pada bahagian kiri jam. Jam tangan pintar ini turut hadir dengan sokongan selular sepenuhnya. Apple Watch Ultra turut hadir dengan pilihan kerangka titanium 49mm.

Butang pada bahagian tepi jam ini boleh diubah mengikut citarasa pengguna untuk mengakses pantas sejumlah perkara dengan hanya satu tap. Dengan langkah ini, ia membolehkan anda melihat sejumlah data dengan pantas ketika berlari atau melakukan sesuatu aktiviti. Apple Watch Ultra turut menyertakan sokongan GPS yang sangat tepat dan lebih jitu berbanding jam tangan pintar lain. Apple menjayakan perkara ini melalui sokongan L1+L5 GPS, selain algoritma lebih baik.

Disamping itu, Apple Watch Ultra turut menyertakan paparan muka jam kompas pada skrin utama jam. Ini sekaligus memudahkan pelbagai pemantauan, disamping memudahkan pengguna untuk mengubah kepada tema gelap atau sebaliknya dengan hanya memutarkan Digital Crown.

Ciri lain seperti Apple Watch lain turut disertakan, termasuk untuk denyutan nadi, pemantauan suhu, memantau tahap oksigen dalam darah dan lain-lain.

Di Malaysia, Apple Watch Ultra ini ditawarkan dalam sejumlah pilihan, pada harga RM3799.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd