Cari @ Amanz

Siri cip pemprosesan Intel generasi ke-13 Raptor Lake akan dilancarkan tidak lama lagi, tetapi terkini, butiran mengenai sejumlah cip pemprosesan yang akan ditawarkan oleh Intel untuk pelancaran awal sudahpun tertiris ke arena web.

Slaid pembentangan Intel tertiris melalui laman web Igor’s Lab yang memperlihatkan enam cip pemprosesan Intel Raptor Lake yang akan dilancarkan terlebih dahulu, iaitu Intel Core i9-13900K, Intel Core i9-13900KF, Intel Core i7-13700K, Intel Core i7-13700KF, Intel Core i5-13600K dan Intel Core i5-13600KF.

Intel Core i9-13900K memperlihatkan 24 teras fizikal (8 teras prestasi, 16 teras efisiensi) dan 36 bebenang kuasa. Ia juga hadir dengan kelajuan lewahjam Thermal Velocity Boost Frequency sehingga 5.8GHz dan masih lagi menyokong kedua-dua memori DDR4 dan DDR5 yang baru.

Cip-cip pemprosesan lain yang diperlihatkan juga hadir dengan kebolehan lewahjam Turbo Boost, tetapi hanya cip pemprosesan Intel Core i9 tersebut hadir dengan kebolehan lewahjam tambahan tersebut.

Dalam pada itu, Intel turut akan memperkenalkan siri papan induk Intel Z790 untuk cip pemprosesan ini dan akan tampil dengan beberapa perubahan menarik seperti penawaran 20 jaluran PCIe 4.0 dan pengurangan jaluran PCIe 3.0 ke 8 jaluran sahaja.

Intel dijangka akan memperkenalkan siri cip pemprosesan Intel Raptor Lake mereka tidak lama lagi.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd