Cari @ Amanz

Dengan pelancaran siri cip pemprosesan AMD Ryzen 7000 tidak lama lagi, AMD telah mula untuk mengemaskini penawaran cip pemprosesan kelas komputer riba mereka kerana pelancaran cip pemprosesan kelas desktop dan komputer riba yang akan memeningkan kepala ramai pengguna.

Perubahan dibuat kepada nama model siri cip pemprosesan komputer riba kerana untuk model-model ini, AMD masih lagi akan menggunakan teras yang pernah dilancarkan sebelum ini bergantung kepada keperluan.

Secara lazimnya, nama model dengan nombor-nombor yang lebih tinggi adalah cip pemprosesan yang lebih berkuasa, dan walaupun ini tidak berubah, setiap angka yang diperlihatkan pada sebuah cip pemprosesan AMD Ryzen untuk komputer riba kini akan hadir dengan butiran-butiran khusus.

Mengambil contoh sebuah cip pemprosesan AMD Ryzen 5-7640U, setiap angka pada empat angka model cip pemprosesan tersebut mempunyai butirannya yang tersendiri.

Angka yang pertama memperlihatkan tahun cip pemprosesan tersebut dilancarkan. Nombor 7 ialah untuk tahun 2023, 8 untuk cip yang dilancarkan pada tahun 2024 dan sebagainya. Angka kedua pula memperlihatkan taraf cip pemprosesan tersebut. 1 dan 2 ialah untuk cip pemprosesan Athlon, 3-4 ialah untuk Ryzen 3, 5-6 ialah untuk Ryzen 5, 7 dan 8 ialah untuk Ryzen 7/9, dan 9 ialah untuk Ryzen 9.

Angka ketiga memperlihatkan arkitektur cip yang digunakan oleh CPU tersebut. 1 ialah untuk Zen 1, 2 untuk Zen 2 dan sebagainya. Angka keempat pula ialah untuk menentukan samada cip pemprosesan tersebut berada dalam segment kelas bawahan berkuasa rendah ataupun tinggi dengan menggunakan angka 0 ataupun 5.

Huruf HX/HS/H/U/C/e yang digunakan pada penghujung pula memperlihatkan jumlah kuasa yang akan digunakan oleh cip pemprosesan ini. HX ialah yang tertinggi dengan penggunaan kuasa 55W keatas, U sekitar 15-28W dan e dibawah 9W.

Penggunaan nama model cip pemprosesan ini akan diperkenalkan apabila cip pemprosesan AMD Mendocino (berdasarkan Zen 2) dan Dragon Range (berdasarkan Zen 4) diperkenalkan oleh mereka bermula awal tahun hadapan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd