Cari @ Amanz

Apple iPhone 14, iPhone 14 Max, iPhone 14 Pro dan iPhone 14 Pro Max telah dilancarkan awal pagi tadi dengan dua konfigurasi yang berbeza yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Selain itu “wajah” dua siri keluarga iPhone 14 ini juga berbeza dengan satu dilengkapi takuk dan satu lagi dengan lubang kamera. Apakah lagi perkara yang menarik atau mengecewakan tahun ini? Berikut ialah 10 perkara menarik dan mengecewakan pada siri iPhone 14 tahun ini.

1.Menarik – Dynamic Island iPhone 14 Pro dan 14 Pro Max

Bagi pembenci takuk gergasi sejak iPhone X, isu ini diselesaikan tahun ini dengan penggunaan Dynamic Island iaitu lubang pada skrin untuk kamera hadapan dan sistem imbasan wajah Face ID. Ianya masih lagi agak besar tetapi masih memberikan pengurangan saiz yang jika dibandingkan dengan sebuah takuk.

Dynamic Island akan membesar dan mengecil apabila menerima notifikasi teks, emel, AirDrop, memaparkan tahap pengecasan dan banyak lagi. Ianya dinamik membuatkan pengguna akan lupa ia wujud sama seperti takuk pada model terdahulu. Bagi pencinta takuk jangan risau kerana iPhone 14 dan 14 Plus masih lagi mengekalkannya pada waktu ini. Pilih sahaja rekaan mana yang anda rasakan paling serasi dengan kehendak hati.

2. Menarik – Apple A16 Bionic Yang Makin Berkuasa

Cip A16 Bionic menambah baik lagi prestasi A15 Bionic yang dilancarkan tahun lalu yang masih belum mampu dipintas majoriti cip yang digunakan pada peranti Android. Konfigurasi 2+4 teras dikekalkan dengan dua teras berprestasi tinggi dan empat lagi teras untuk tugasan yang tidak memerlukan kuasa memproses yang tinggi. GPU lima teras pada A16 Bionic sekali lagi menjanjikan peningkatan prestasi grafik sehingga 50% berbanding model tahun lalu.

Teknologi 4nm digunakan tahun ini berbanding 5nm yang digunakan tahun lalu. Ini meletakkannya setanding dengan Snapdragon 8+ Gen 1 yang digunakan pada peranti mercu Android terkini. Proses pengilangan yang lebih kecil ini juga membolehkan peranti mengurangkan penggunaan tenaga sehingga 20% yang seterusnya memanjangkan hayat bateri yang memang sudah sedia di tahap legenda pada iPhone 13 Pro Max.

3. Mengecewakan – Cip Apple A15 Bionic Pada iPhone 14 Biasa

Strategi yang lain dilakukan tahun ini kerana iPhone 14 dan 14 Plus hanya menggunakan cip Apple A15 Bionic seperti siri iPhone 13 tahun lalu cuma dengan GPU yang 18% lebih berkuasa. Selama ini pengguna mempunyai pilihan untuk tidak membeli model Pro tetapi cip mercu yang sama masih boleh dinikmati pada model yang lebih mampu milik.

Dengan iPhone 14 dan 14 Plus, Apple telah mewujudkan peranti “kelas pertengahan” mereka di mana cip mercu tahun lalu dikitar semula pada model bukan Pro. Berita baik di sini ialah A15 Bionic masih lagi cukup berkuasa jika dibandingkan dengan Snapdragon 8 Gen 1. Maka pemilik peranti tidak perlu risau ia tidak mempunyai kuasa mencukupi untuk menjalankan aplikasi gaming yang berat dalam masa terdekat.

4. Mengecewakan – iOS 16 Sekadar Evolusi Bukan Revolusi

Seperti tahun lalu Apple kini mementingkan evolusi yang kecil pada sistem operasi bukannya memberikan revolusi pada iOS 16. Antaramuka dan set ciri masih sama dengan iOS 15. Perubahan paling ketara iOS 16 ialah akhirnya wujud sokongan sistem Always on Display pada skrin kunci apabila peranti tidak digunakan. Pelbagai maklumat penting boleh diletakkan pada sistem AOD iOS 16 bagi membolehkan ia dibaca tanpa pengguna menyahkunci peranti terlebih dahulu.

Walaupun ciri ini sudah lama disokong pada Android, implementasinya pada iOS 16 nampak lebih menarik dan kemas. Sekali lagi Apple menggunakan motto “biar lambat asalkan mantap”.

5. Menarik – Kamera Baharu Sensor Akhirnya Lebih Besar

Alhamdulillah kerana Apple akhirnya menggunakan saiz sensor yang lebih besar pada iPhone. Sensor 12MP pada kamera utama telah digunakan oleh mereka sejak iPhone 6S yang dilancarkan pada tahun 2015. Tahun ini sensor yang dipadankan pada lensa sudut lebar adalah sebesar 48MP. Dengan teknologi quad-binning, gambar yang diambil masih kekal sebesar 12MP.

Saiz pixel juga lebih besar bagi menghasilkan mod malam yang lebih terang, gambar biasa yang lebih tajam dan penghasilan semula warna yang lebih jitu. Akibatnya saiz ketiga-tiga lensa di belakang peranti juga bertambah besar.

6. Menarik – Ciri SOS Kecemasan Menggunakan Satelit

Dalam filem seram pasti ada babak klise telefon pintar kehilangan rangkaian di saat cemas. Pembunuh bertopeng mengejar mangsa di dalam hutan dan mereka dibunuh kerana panggilan telefon tidak dapat dilakukan. Fiksyen ini membawa kepada kerisauan di dunia sebenar jika berlaku juga kecemasan ketika berkhemah di dalam hutan misalnya.

Pada semua model iPhone 14, ciri Emergency SOS via Satellite diperkenalkan dengan pengguna boleh menghantar mesej pesanan ringkas kecemasan menggunakan rangkaian satelit apabila tiada rangkaian selular atau internet. Apple membangunkan perisian tersendiri untuk memudahkan pengguna mencari satelit di angkasa untuk menghantar SMS kecemasan untuk mendapatkan bantuan.

Ciri menghantar SMS juga dipermudahkan dengan hanya menjawab soalan lazim. Buat masa ini ciri ini hanya akan diberikan percuma selama dua tahun kepada pelanggan di Amerika Syarikat dan Kanada.

7. Mengecewakan – Pengecasan Masih Sekadar 20W dan Lightning

Pengecasan yang masih di takuk lama 20W pada keempat-empat model iPhone tahun ini. Seperti Samsung, Apple masih enggan menawarkan sistem pengecasan yang jauh lebih pantas berbanding yang digunakan pada peranti kelas pertengahan Oppo, Vivo, Xiaomi, Redmi dan banyak lagi.

Selain itu penantian untuk sokongan USB-C juga masih seperti menanti cipan bertanduk kerana port Lightning dikekalkan. Penggunaan USB-C mungkin akan hanya berlaku tahun hadapan kerana Kesatuan Eropah telah mewajibkan penggunaannya pada kesemua peranti elektronik. Kedegilan menggunakan Lighthing menyebabkan kelajuan pemindahan data iPhone 14 masih lagi sekadar USB 2.0 yang perlahan.

8.Menarik – Mengesan Kemalangan Jalan Raya

Ciri mengesan jatuh pada Apple Watch sudah menyelamatkan ramai nyawa sejak ia diperkenalkan pada Series 4. Kini ciri mengesan kemalangan pula diperkenalkan pada siri iPhone 14. Data dari accelerometer, barometer dan mikrofon digunakan bagi mengesan sama ada pengguna terlibat dalam sebuah kemalangan kenderaan.

Apabila kemalangan dikesan, notifkasi akan diberikan dan pengguna perlu menjawabnya dalam masa 10 saaat. Sekiranya gagal, notifikasi kepada ahli keluarga dalam senarai kecemasan akan diberikan lengkap dengan lokasi GPS dan panggilan kepada pasukan bantuan kecemasan akan turut dilakukan.

9. Menarik – Kamera Swafoto Auto-Fokus

Ciri kamera swafoto dengan auto fokus akhirnya tiba pada iPhone 14. Imej pada viewfinder dapat difokuskan dengan lebih baik dan pantas. Kemas kini sensor 12MP dengan autofokus ini tiba tepat pada waktunya kerana semakin ramai pengguna melakukan rakaman untuk TikTok, YouTube dan Instagram menggunakan kamera swafoto.

Kamera hadapan yang dipertingkat akan menghasilkan kandungan yang baik tanpa isu imej kelihatan kurang tajam dan tidak difokus dengan baik. Ciri auto-fokus pada kamera swafoto bukannya baharu dengan ia sudah wujud pada peranti Android seperti HTC 10 tetapi pengenalannya pada iPhone 14 mungkin akan memaksa pengeluar peranti Android untuk menawarkannya sebagai ciri standard untuk kekal kompetitif.

10. Mengecewakan – Harga Semakin Mahal

iPhone sejak dari azali lagi dijual pada harga yang lebih premium berbanding telefon pintar Android mercu yang lain. Tetapi tahun ini dengan nilai Ringgit yang semakin menjunam dan ditambah pula dengan kos pengeluar meningkat disebabkan konflik dunia, harga jualan kesemua model iPhone 14 meningkat dengan mendadak.

iPhone 14 dijual pada harga bermula RM4199 untuk 128GB berbanding iPhone 13 yang dijual pada harga RM3899 untuk saiz storan yang sama. Peningkatan RM300 bukanlah kecil dalam ekonomi semasa. Harga iPhone 14 Pro Max pula mencecah RM8299 untuk model 1TB berbanding iPhone 13 Pro Max model 1TB yang dijual pada harga RM7599 sebuah.

Jadi adakah senarai 10 perkara ini membuatkan anda teruja untuk membeli siri iPhone 14? Sekiranya ya apakah ciri yang paling menarik minat anda dan apa pula yang mungkin ada kami terlepas pandang. Sila tinggalkan komen di bawah artikel ini untuk berkongsi pendapat anda.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd