Cari @ Amanz

Apple Memberikan Pengecas Yang Lebih Tahan Lasak Untuk Pembeli Apple Watch Ultra

Link Copied!

Di acara atas talian Apple semalam, Far Out – Apple Watch Ultra telah dilancarkan. Ia adalah jam Apple Watch paling berkuasa, bateri yang bertahan paling lama, lebih besar dan turut boleh dibawa menyelam sehingga 40m dalam.

Apple Watch Ultra turut mempunyai butang fizikal baharu yang bebas diprogramkan oleh pengguna untuk akses pantas ke pelbagai data, aktiviti atau aplikasi. Jam ini dihasilkan khusus untuk mereka yang aktif bersukan di luar, seperti mendaki, meneroka hutan, menyelam atau berkhemah.

Selain beberapa muka jam baharu diperkenalkan, jam ini turut mempunyai cip GPS L1 dan L5 untuk dwi-GPS agar penjejakan lebih jitu. Ia boleh membantu pengguna yang terlibat dengan kemalangan kenderaan, jam dibina dari bahan binaan tahan lasak, skrin cerah sehingga 2000 nits, siren terbina dan harga jualan RM3,799.

Setiap pengguna yang membeli jam ini, turut akan menerima pengecas USB-C baharu. Ia adalah pengecas magnetik Apple Watch Series 7 dengan USB-C terbina, tetapi pada Watch Ultra kabel yang diberikan diubah ke versi tahan lasak dengan jenis bersirat.

Ini sesuai dengan mereka yang gemar mengembara dan membawa pengecas jam mereka sentiasa ke mana sahaja. Di laman Apple Store tempatan, pengecas ini tidak dijual lagi. Tetapi Apple Watch Magnetic Fast Charger to USB-C Cable (1m) dijual pada harga RM159 dan tidak pasti jika versi tahan lasak ini turut akan dijual nanti.


Komen ()