Jabra Elite 5 telah dilancarkan sebelum ini dengan reka bentuk seumpama beberapa generasi terdahulu. Ia menampilkan binaan plastik bersaiz kecil pada fon telinga dan pod pengecasan pula berbentuk bujur.

Bagi yang berminat, fon telinga ini boleh dibeli di Malaysia pada harga RM699. Pratempah boleh dibuat bermula 9 – 13 September dengan hadiah misteri bernilai hingga RM199 yang disertakan. Bukan itu sahaja, terdapat juga hadiah menarik bernilai hingga RM319 yang ditawarkan menerusi segmen Happy Hour bersempena dengan jualan beli-belah 9.9.

Untuk spesifikasi, Jabra Elite 5 dilengkapi dengan sistem pembatalan hingar hibrid (Hybrid Active Noise Cancelling) terbina. Ini bermakna ia mempunyai mikrofon di dalam dan di luar yang mampu mengesan seterusnya membatalkan bunyi hingar di persekitaran. Seterusnya, pemandu audio 6mm dengan 6 mikrofon terbina turut disertakan untuk panggilan lebih jelas.

Dalam pada itu, fon telinga ini juga dimuatkan dengan sokongan codec aptX/AAC/SBC, bluetooth 5.1, penarafan IP55 dan sokongan Google Fast Pair. Baterinya pula mampu bertahan hingga 28 jam, di samping kebolehan pengecasan nirwayar Qi turut disertakan.