Cari @ Amanz

Google sehingga hari ini masih lagi memerangi Apple untuk mereka menggunakan sistem pemesejan RCS dan hentikan penggunaan iMessage. Google ingin pengguna iPhone dan Android boleh hidup mesra bersama-sama dan tiada lagi masalah buih teks hijau dan biru.

Ratusan juta pengguna telah pun menggunakan RCS. Namun ciri ini di Malaysia masih belum meluas dan bergantung kepada syarikat telekomunikasi untuk menawarkannya atau tidak. RCS adalah iMessage untuk Android, iaitu kaedah pemesejan pengganti SMS yang menggunakan Internet.

Dalam acara Code Conference bersama Jony Ive dan Laurene Powell Jobs, Tim Cook memberitahu yang belum ada pengguna yang meminta Apple integrasikan RCS ke dalam iPhone untuk menghantar mesej ke orang lain.

Tim menjawab soalan “bagaimana saya ingin menghantar video ke ibu”, dengan “beli sahaja ibu anda sebuah iPhone”.

Tim turut tidak menyatakan yang mereka tidak akan mengintegrasikan RCS, cuma tidak nampak manfaat dan kebaikan untuk mereka lagi buat masa ini. Disebabkan itu, Apple tidak akan menghabiskan masa dan tenaga untuk ciri yang tidak diminta ramai.

Ini sebenarnya bukan satu masalah yang besar. Kedua-dua pengguna Android dan iOS ada pilihan kaedah pemesejan lain, perkongsian pautan dan banyak lagi. Jadi jika anda ingin kongsi apa jua fail media ke yang tersayang pada kualiti tinggi, tetapi mereka menggunakan Android – gunakan aplikasi seperti WhatsApp atau Signal yang Google sendiri cadangkan. Dua aplikasi pemesejan ini percuma untuk digunakan oleh pengguna Android dan iOS.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd