Intel dijangka akan memperkenalkan empat model kad grafik untuk pelbagai jenis pengguna tidak lama lagi, samada anda seorang gamer tegar ataupun hanya memerlukan sesuatu untuk mengaktifkan paparan skrin anda.

Kad-kad grafik ini termasuklah Intel Arc A770, Arc A750, Arc A580 dan Arc A380. Model paling berkuasa didalam siri ini ialah Intel Arc A770 dengan 32 teras Xe, kelajuan Game Clock 2100MHz, dan pilihan memori GDDR6 sebanyak 16GB ataupun 8GB.
Intel Arc A750 pula hadir dengan 28 teras Xe, kelajuan Game Clock 2050MHz dengan memori GDDR6 sebanyak 8GB, manakala Intel Arc A580 mempunyai 24 teras Xe dengan kelajuan Game Clock 1700MHz dengan memori GDDR6 8GB juga. Intel Arc A380, kad grafik yang paling dikenali ramai sekarang mempunyai 8 teras Xe dengan kelajuan Game Clock 2000MHz dengan memori GDDR6 6GB.

Intel juga memperlihatkan rekaan untuk kad grafik Arc A770 dan Arc A750 Limited Edition yang hadir dengan rekaan serba nipis dan menggunakan satu palam PCIe 8-pin dan satu palam 6-pin yang menggunakan sekitar 250W kuasa.
Buat masa ini Intel masih belum memperlihatkan tarikh pelancaran kad grafik ini, walaupun mengesahkan bahawa ia akan mula dijual tidak lama lagi.