Cari @ Amanz

Sewaktu acara pelancaran produk Apple tempoh hari, Apple telah memperlihatkan jam pintar terbaru dan paling premium mereka, iaitu Apple Watch Ultra yang tampil dengan rekaan muka yang lebih besar, penggunaan bahan seperti logam titanium dan juga kaca nilam dengan ciri-ciri seperti komputer menyelam.

Apple Watch Ultra akan dijual pada harga RM3799 dan baru-baru ini, laman web anggaran pembaikan Apple telah dikemaskini dengan produk tersebut, dan anggaran harga untuk pembaikan jam pintar ini dilihat cukup mengejutkan.

Pengguna akan perlu membayar $99 (~RM450) untuk menukar bateri jam tangan ini, dan sekiranya pengguna membeli produk ini bersama-sama dengan insuran Apple Care+, pertukaran tersebut adalah percuma sekiranya hayat bateri tersebut hanya boleh mengekalkan 80 peratus cas.

Sekiranya terdapat kerosakan lain pada jam Apple Watch Ultra ini, laman web Apple mengatakan bahawa baikpulih jam ini boleh boleh mencecah $499 (~RM2200) bergantung kepada kerosakannya.

Akan tetapi, jika jam ini berada dibawah pelan insuran Apple Care+, jumlah maksima yang perlu dibayar adalah sekitar $78 (~RM350) jumlah yang jauh lebih rendah apabila dibandingkan tanpanya.

Buat masa ini, Apple Care di Malaysia hanya merangkumi produk-produk siri MacBook, iPad dan AppleTV sahaja. Malaysia juga tidak mempunyai pelan Apple Care+ seperti di Amerika Syarikat, dan buat masa ini ia tidak diketahui lagi samada pelan Apple Care sedia ada akan merangkumi produk Apple Watch Ultra juga apabila ia diperkenalkan di sini.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd