Dizo, sebuah jenama di bawah ekosistem Realme kini hadir dengan dua utas peranti boleh-pakai baharu. Melaluinya, Dizo Watch D Talk dan Dizo Watch R Talk telah diperkenalkan dengan reka bentuk dan perkakasan dalaman berbeza. Penawaran kedua-duanya bagaimanapun terhad untuk pasaran India sahaja buat masa ini.


Dizo Watch D Talk dilengkapi muka jam berbentuk segi empat dengan padanan tali jam sejenis silikon. Ia boleh didapati dalam beberapa pilihan warna seperti Classic Black, Silver Grey dan Light Green. Seterusnya skrin LCD 1.8-inci beresolusi 240 x 286 piksel. Dalam masa sama, lebih 150 jenis muka jam yang boleh dikostumasi turut disediakan.

Jam tangan ini juga dimuatkan dengan sensor kesihatan terbina yang boleh memantau sejumlah perkara seperti kadar degupan jantung, kiraan kalori, pola waktu tidur dan SpO2. Bukan itu sahaja, ada juga lebih 120 mod sukan terbina dan bateri 260mAh dengan kemampuan bertahan sehingga 7 hari. Kemampuan melakukan panggilan telefon menerusi jam kerana ia mempunyai pembesar suara dan mikrofon terbina.


Dizo Watch R Talk pula merupakan jam tangan bermuka bulat dengan dua butang fizikal terbina di sisi. Tali silikon masih digunakan dengan beberapa pilihan warna seperti Glossy Black dan Sleek Silver. Skrin pula adalah AMOLED 1.3-inci dengan resolusi 360×360 piksel dan lebih 150 pilihan muka jam.

Turut disertakan adalah lebih 110 mod sukan terbina yang merangkumi larian, yoga dan banyak lagi. Selain daripada itu, sensor pemantauan kesihatan yang disertakan juga mampu memantau kadar degupan jantung, SpO2, pola waktu tidur dan kesihatan wanita. Bateri pula 300mAh yang mampu beroperasi sehingga 10 hari.
Untuk harga, Dizo Watch D Talk dijual pada Rs3,999 (~RM226) dan Dizo Watch R Talk pula berharga Rs4,999 (~RM282) seutas.