Cari @ Amanz

Samsung Galaxy Z Fold4 telah mula tiba ke tangan pengguna yang melakukan pra-tempahan sejurus selepas pelancarannya pada awal Ogos lalu. Kami Amanz menobatkan Fold4 sebagai peranti skrin boleh-lipat terbaik di pasaran Malaysia sekarang kerana menyelesaikan beberapa isu yang wujud pada Fold3.

Perubahan kecil yang dilakukan Samsung berjaya menghasilkan impak yang besar. Bagi pemilik baharu Z Fold4, berikut ialah 10 perkara pertama yang perlu diaktifkan pada tetapan peranti untuk menjadikan penggunaan peranti lebih lancar, mudah dan optimum.

1. Letak 8 Aplikasi Paling Kerap Digunakan Pada Talam Pintasan Pantas

Secara lalai hanya lima aplikasi diletakkan di talam pintasan pantas yang terletak di bahagian bawah skrin. Kami sarankan lapan aplikasi yang paling kerap digunakan diletakkan pada talam ini bagi membolehkan sehingga 10 ikon aplikasi dipaparkan dalam Taskbar apabila ia digunakan. Taskbar ialah talam yang diletakkan di bahagian bawah skrin apabila aplikasi dibuka secara skrin penuh. Ia memudahkan proses melakukan multi-tugas kerana bukan sahaja ikon lapan aplikasi paling kerap digunakan dipaparkan dalam Taskbar, tetapi dua lagi aplikasi lain yang dibuka sebelum ini. Dengan 10 aplikasi boleh diakses pantas pada bila-bila masa, Fold4 akan menjadi aplikasi multi-tugas sebenar kepada pemilik.

2. Tukar Saiz Susunan Grid Skrin Utama Dan Grid Aplikasi

Secara lalai susunan grid pada skrin luar ialah 3X5 dan pada skrin dalam pula 4×6. Pemilik Fold4 baharu mungkin tidak menyedari susunan grid aplikasi pada skrin luar, skrin dalam dan talam aplikasi boleh diubah. Pada skrin luar ia boleh meningkat ke 5×6 , skrin dalam pula sehingga 6×5 dan pada talam aplikasi pula 6×6. Dengan ini lebih banyak ikon aplikasi boleh dimuatkan pada skrin untuk mengoptimumkan penggunaan ruang. Ubah tetapan dengan pergi ke Settings > Home screen > (Home screen grid atau Apps screen grid).

3. Swipe For Split Screen

Ciri Swipe For Split Screen tidak diaktifkan sejurus selepas peranti dibuka pertama kali. Kami sarankan ia diaktifkan kerana mempercepatkan proses menggunakan dua aplikasi serentak dalam dua tingkap berbeza pada skrin boleh-lipat. Lalukan dua jari dari kiri ke kanan atau bawah ke atas dan secara automatik mod Split Screen akan dibuka tanpa perlu memasuki skrin multi-tugas terlebih dahulu seperti pada peranti Samsung/Android lain. Pergi ke Settings > Advanced features > Labs > Swipe for split screen untuk menggunakan ciri ini.

4. Continue App On Cover Screen

Satu lagi ciri yang kamu rasakan perlu diaktifkan ialah Continue App On Cover Screen. Apabila diaktifkan aplikasi yang dibuka pada skrin boleh-lipat akan dipaparkan pula pada skrin luar. Secara lalai jika ini tidak diaktifkan semua aplikasi akan ditutup apabila skrin boleh-lipat ditutup. Kadang kala anda mungkin mahu meneruskan penggunaan aplikasi pada skrin luar walaupun ia kecil. Kami misalnya menggunakan ciri ini untuk Chrome, Gmail dan Waze. Untuk mengaktifkan ciri ini pergi ke Settings > Display > Continue apps on cover screen.

5. Ubah Saiz RAM Plus

Fold4 hadir dengan 12GB RAM tetapi ia boleh meningkat ke 20GB menggunakan ciri RAM Plus. Secara lalu 4GB RAM Plus diaktifkan sejurus selepas peranti diaktifkan. Pemilik boleh mengubah saiz RAM ini ke 2, 4, 6 atau 8 GB. Kerana RAM Plus mengambil sebahagian storan peranti, pemilik mungkin ingin memilih 2GB RAM sahaja. Buat masa ini RAM Plus aktif sepanjang masa tetapi ia bakal boleh dimatikan menerusi One UI 5.0 berasaskan Android 13 kelak. Untuk mengubah RAM Plus pergi ke Settings > Battery and device care > Memory > RAM Plus.

6. Cover Screen Mirroring

Tahukah anda susunan aplikasi pada skrin luar boleh dipadankan dengan skrin di bahagian dalam bagi menyeragamkannya? Ini satu lagi ciri yang tidak diaktifkan sejak dari awal kerana mengelakkan kekeliruan kerana kedudukan aplikasi yang sama pada kedua-dua skrin Fold4. Untuk menggunakannya sila ke Settings > Home Screen > Cover Screen Mirroring.

7.Secure Folder

Kami yakin anda pasti pernah mengambil gambar MyKad, pasport, surat beranak atau resit untuk urusan rasmi. Gambar yang diambil ini berbahaya sekiranya jatuh ke tangan individu yang tidak dikenali. Gunakan Secure Folder untuk menyimpan imej dan dokumen sensitif ini dengan selamat. Secure Folder hanya boleh diakses menggunakan imbasan cap jari atau kata laluan.

Hidupkan Secure Folder dengan pergi ke Settings > Biometrics and security > Secure Folder > Add Secure Folder to app screen. Kemudian pergi ke Gallery, pilih imej-imej yang ingin disorokkan dan kemudian pilih pula Move to Secure Folder. Selain gambar aplikasi juga boleh disorokkan dan dikunci dalam secure folder bagi mengelakkan terus ia dari diakses.

8. App Icon Badges

Kadang kala sistem notifikasi tidak memberikan gambaran sebenar berapa banyak mesej yang diterima. Oleh itu ciri App Icon Badges kami sarankan diaktifkan untuk pengguna. Dengan ciri ini jumlah notifikasi baharu pada setiap aplikasi yang menerima akan dipaparkan pada ikon. Untuk menggunakan ciri berguna ini pergi ke Settings > N otifications > Advanced Settings > App icon badges. Kemudian pilih untuk paparan bernombor atau sekadar titik sahaja pada ikon.

9. Gunakan Pengimbas Cap Jari Untuk Membuka Talam Notifikasi

Dengan peranti yang agak berat, memanjang dan besar risiko yang diambil ketika menggunakannya dengan sebelah tangan adalah agak tinggi. Aktifkan ciri Finger Sensor Gestures bagi membolehkan butang kuasa merangkap pengimbas cap jari menjadi pad sesentuh. Apabila diaktifkan, talam notifikasi boleh ditarik ke bawah dengan melalukan jari pada pengimbas cap jari. Gunakan ciri ini dengan pergi ke Settings > Motion and gestures > Finger sensor gestures.

10. Contact Information

Akhir sekali anda sudah membelanjakan ribuan ringgit membeli Fold4 dan anda pasti risau sekiranya ia tercicir. Hidupkan Contact Information untuk memaparkan maklumat peribadi seperti alamat emel atau nama yang digunakan pada akaun media sosial pada skrin kunci sepanjang masa. Dengan ini peranti hilang boleh dipulangkan. Pergi ke Settings > Lock screen > Contact information.


Dengan 10 ciri penting, menarik dan ketercapaian yang kami kongsi di atas kami berharap pengguna Samsung Galaxy Z Fold4 dapat menggunakan peranti mereka dengan lebih baik serta menyedari tentang ciri-ciri yang mungkin tersorok.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd