Apple Merancang Untuk Perkenal Khidmat Langganan iPhone Seawal Tahun Ini
Aman
Beberapa bulan lepas, kita telah mendengar desas-desus menyatakan Apple bakal hadir dengan perkhidmatan langganan iPhone tidak lama lagi. Kini, berkongsi lanjut, Bloomberg melaporkan Apple masih meneruskan rancangan tersebut, dan ingin memperkenalkannya seawal penghujung tahun ini.
Perkhidmatan langganan ini dikatakan akan turut ditawarkan bersama Apple One dan juga Apple Care.
Dengan melanggannya, pengguna akan perlu membayar suatu bayaran langganan bulanan – dan pengguna akan dapat menukar kepada model baharu sebaik sahaja ia keluar, dan meneruskan langganan seperti biasa. Bayaran tersebut adalah bukan pembahagian harga peranti untuk tempoh 12 bulan atau 24 bulan, sebaliknya sebuah harga yang akan turut mengintegrasikan khidmat tambahan seperti Apple One dan Apple Care.

Apple dikatakan tidak memperkenalkan ia ketika pelancaran tempoh hari, kerana ia akan merumitkan proses pengenalan dan penerangan kepada pengguna.
Apple dijangka mungkin mengumumkan ia seawal bulan hadapan, dan menawarkan khidmat langganan peranti ini bermula Disember atau pada tahun 2023 kelak.
Dengan langkah ini juga, ia sekaligus akan memastikan pendapatan Apple terus terikat dari tahun ke tahun, dan akan memudahkan mereka terus menjana pendapatan, selain menyasarkan berapa peranti yang akan perlu digunakan.