Sea Ltd syarikat induk kepada Shopee mengumumkan operasi laman edagang kini dihentikan sepenuhnya di Argentina serta pada waktu yang sama menutup pejabat operasi di Chile, Colombia dan Mexico menurut laporan Reuters. Puluhan kakitangan kehilangan kerja akibat pengumuman ini.

Turut diumumkan ialah pengurangan 15% kakitangan di pejabat Shanghai mereka yang juga merupakan tempat Garena beroperasi. Nilai saham syarikat jatuh mendadak awal tahun ini selepas India mengharamkan aplikasi Free Fire yang dibangunkan Garena yang selama ini menjadi keuntungan syarikat serta menanggung kos operasi perkhidmatan yang lain.
Minggu lalu muncul laporan Shopee membatalkan tawaran kerja kepada puluhan individu secara mendadak. Beberapa permainan baharu dibatalkan oleh Garena dan operasi Shopee di India serta Perancis turut dihentikan pada Mac.