Storan SSD PCie 5.0 Yang Lebih Pantas Dijangka Tiba Pada Pertengahan 2023

Diterbitkan pada Sep 12, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Storan SSD PCIe 5.0 yang diperkenalkan pada tahun ini dilihat hadir dengan kadar pembacaan dan penulisan data 15GB/s yang dilihat jauh lebih pantas berbanding apa yang ditawarkan oleh SSD PCIe 4.0 sekarang (sekitar 7-8GB/s).

Tetapi tahukah anda bahawa tidak semua storan-storan SSD ini dibina dengan kelajuan yang sama? Jenama-jenama seperti Corsair, Gigabyte dan Goodram telah memperkenalkan penawaran SSD PCIe 5.0 tetapi hanya hadir dengan kelajuan 10GB/s?

Ini adalah kerana walaupun cip-cip pengawal SSD seperti Phison E26 hadir dengan kebolehan penghantaran data tersebut, cip-cip storan 3D pada waktu sekarang yang digunakan tidak mampu untuk memanfaatkan kadar penghantaran data tersebut pada tahap maksima.

Sebuah SSD PCIe 5.0 perlu menggunakan cip storan dengan kelajuan 2400MT/s untuk mendapatkan kelajuan yang pantas tersebut, tetapi kebanyakan cip storan SSD hanya mempunyai kelajuan 1600MT/s yang membolehkannya hadir dengan kadar penghantaran data 10GB/s.

Buat masa ini, ia dilihat bahawa hanya Micron dan SK Hynix mengeluarkan cip-cip storan ini, dan walaupun ia telah mula dikeluarkan secara besar-besaran, jumlah pengeluaran cip-cip tersebut tidak begitu banyak setakat ini.

Micron khususnya mengatakan bahawa mereka sedang memperhalusi lagi proses pengeluaran cip storan 3D 232 lapis mereka, dan jumlah hasil pengeluaran tersebut dijangka akan dipertingkat lagi pada awal tahun depan, dan produk-produk SSD PCIe 5.0 dengan kadar penghantaran dan pembacaan data 15GB/s akan diperlihatkan sekitar pertengahan tahun hadapan.

komen


© Amanz / 2022 Kami