Google Disaman Kerana Membayar Apple, Samsung Untuk Menggunakan Enjin Carian Mereka

Diterbitkan pada Sep 12, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Jabatan Keadilan Amerika Syarikat baru-baru ini telah memfailkan saman mahkamah terhadap Google kerana membayar syarikat-syarikat pembuat peranti seperti Apple dan Samsung untuk memastikan bahawa mereka menggunakan enjin carian Google sebagai pilihan lalai pada peranti-peranti mereka.

Pada tahun 2014, Google telah didapati membayar Apple $1 bilion untuk memastikan enjin carian mereka adalah pilihan lalai pada pelayar web Safari mereka, dan perkara sama dilihat untuk Samsung juga.

Kini, jumlah yang dibayar oleh Google kepada syarikat-syarikat seperti ini telah melonjak jauh lebih tinggi, kepada $15-20 bilion khususnya untuk Apple. Kerajaan Amerika Syarikat berpendapat bahawa perkara ini adalah anti-pertandingan kerana pembayaran tersebut akan memberi monopoli pegangan kepada Google apabila semua carian dilakukan melalui enjin carian tersebut.

Dari segi teknologi carian, ia boleh dikatakan bahawa Google tidak mempunyai begitu banyak persaingan, tetapi syarikat-syarikat seperti Bytedance, Meta dan sebagainya telah memberi pengguna pilihan untuk mencari terus kandungan tanpa perlu melalui laman web tersebut.

Kes mahkamah ini akan bermula pada tahun hadapan, dan sekiranya Google gagal untuk memberi sebab mengapa perbuatan membayar syarikat-syarikat ini wang untuk mengekalkan posisi Google sebagai enjin carian lalai mereka, bukan sahaja Google akan disaman dengan keras, tetapi juga Apple, Samsung dan pelbagai syarikat telekomunikasi di Amerika Syarikat tidak lagi akan menerima bayaran yang lumayan selepas ini.

komen


© Amanz / 2022 Kami