Carian
Ulasan Samsung Galaxy Z Flip4 – Yang Boleh-Lipat Semakin Hebat
September 20, 2022 Fahim Zahar

Samsung Galaxy Z Flip adalah telefon dengan skrin boleh-lipat sebenar pertama saya. Saya gunakannya sebagai peranti harian untuk 4-5 bulan pada tahun 2020, kerana ia berbeza dan memberi saya pengalaman penggunaan baharu. Saya tidak tukar ke versi 5G dan turut melangkau Z Flip3 kerana menantikan sesuatu yang betul-betul baru dan berlainan.

Kehadiran Samsung Galaxy Z Flip4 membuatkan saya ingin cuba semula menggunakan peranti ini. Selepas beberapa minggu menggunakannya, ia adalah peranti kegemaran saya pada tahun ini daripada Samsung. Malah saya lebih selesa menggunakan Z Flip4 berbanding Galaxy S22 Ultra.

Dalam artikel ulasan ini akan saya kongsi kenapa ia adalah peranti kegemaran saya, pengalaman penggunaan, berbaloi atau tidak dan untuk siapa sebenarnya peranti ini sesuai?

Spesifikasi

Samsung Galaxy Z Flip4 5G
SkrinDalam – 6.7″ Dynamic AMOLED 2X, 120Hz, HDR10+
Luar – 1.9″ Super AMOLED
PemprosesQualcomm Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm)
Cip1x 3.19 GHz Cortex-X2
3x 2.75 GHz Cortex-A710
4x 1.80 GHz Cortex-A510
Cip GrafikAdreno 730
RAM8GB LPDDR5
Muatan Dalaman128/256/512 GB UFS 3.1
Kamera Utama12 Megapixel f/1.8, OIS
12 Megapixel f/2.2
Kamera Swafoto/Kamera Dalaman10 Megapixel f/2.4
Bateri3300 mAh
Pengecasan berwayar 15W
Pengecasan nirwayar 10W
Pengecasan berbalik 4.5W
SIM/TelefoniNano/5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIPX8
Sistem ImbasanPengimbas cap jari sisi
Harga JualanRM4,099 (8/128 GB)
RM4,299 (8/256 GB)
RM4,899 (8GB, 1TB)
RM4,599 (Bespoke 8/256 GB)

Skrin

Peranti ini masih lagi menggunakan skrin luar dan dalam yang sama dengan Samsung Galaxy Z Flip3 sebelum ini. Di dalam adalah skrin 6.7″ Dynamic AMOLED 2X dengan sokongan kadar segar semula 120Hz jenis adaptif dan turut boleh memaparkan kandungan HDR10+. Di luar pula adalah 1.9″ Super AMOLED yang agak kecil. Ura-ura mengatakan skrin luaran lebih besar seperti pada RAZR 2022 tidak menjadi kenyataan.

Kesan lipatan pada skrin dalam peranti masih jelas kelihatan dan apabila jari menyentuh di bahagian tengah ia masih boleh merasa ada kesan lekuk padanya. Tetapi jika dibandingkan dengan Z Flip3 memang ada bezanya dan ia sedikit lebih rata. Apabila sudah biasa dengan peranti seperti ini, kesan lipatan padanya langsung tidak mengganggu penggunaan harian.

Apa yang mengganggu saya adalah saiz paparan yang panjang. Peranti ini menggunakan nisbah paparan 22:9 yang lebih tinggi daripada peranti mercu Sony Xperia dengan nisbah skrin 21:9. Untuk saya ia sedikit kurang selesa, kerana jari kerap perlu diubah posisi untuk mencapai butang-butang fizikal di sisi kiri dan juga untuk menatal skrin. Walaupun sudah dua minggu menggunakan Flip4, saya masih terasa janggal di dalam tangan.

Kualiti skrin walau bagaimanapun masih lagi mantap. Ia mempunyai warna yang cantik, terang, hitam yang cukup gelap dan segala butiran amat jelas untuk dilihat. Dengan sokongan HDR10+, video di YouTube yang menyokongnya nampak sangat cantik dan memberikan pengalaman menonton yang memuaskan.

Cuma sayang sekali ketika artikel ini sedang ditulis, unit ulasan yang saya gunakan ini masih tidak menyokong HDR10+ pada Netflix. Sedikit mengecewakan, tetapi pada platform lain selain YouTube seperti Prime Video – ia tiada masalah.

Kadar segar semula 120Hz juga adalah sangat pantas dan lancar. Saya tidak langsung mengalami masalah kadar segar semula yang tidak konsisten atau sistem tergendala. Disebabkan ia adalah dari jenis adaptif, ia bergantung pada kandungan dan juga aplikasi. Ada aplikasi yang bagus ada yang terus ke 60Hz yang membuatkan prestasi peranti terasa seakan menjadi semakin perlahan.

Bercakap mengenai skrin di luaran peranti pula, saya amat tidak menggemarinya kerana tidak banyak yang boleh dilakukan. Betul lebih baik berbanding Z Flip pertama yang pernah saya gunakan sebelum ini, tetapi ia amat terhad sehinggakan membalas mesej pun sukar. Saya cuba memanfaatkan penggunaannya dengan melanggan aplikasi pihak ketiga CoverScreen OS untuk mengakses kepada lebih banyak aplikasi.

Tetapi kawalan gestur untuk menggunakan kamera pada skrin kecil ini adalah semakin baik dengan lebih banyak mod boleh diakses dan tidak lagi terhad. Hanya dengan tatalan, mod gambar boleh ke mod video atau bertukar antara potret dan sudut ultra lebar.

Rekaan

Samsung menawarkan rekaan yang lebih rata, padat dan nipis berbanding model terdahulu. Peranti juga menggunakan engsel yang sedikit lebih nipis, di mata saya nampak seperti tiada beza. Tetapi di dalam, tangan peranti ini rasa selesa, tidak licin, dan secara keseluruhan terasa lebih kukuh.

Walaupun Samsung kekal menggunakan kemasan kusam pada permukaan peranti, bingkai peranti masih lagi menggunakan kemasan warna berkilat. Ini menjadikan peranti kotor di keliling, tetapi bersih pada permukaan. Kemasan licin ini bukan sahaja membuatkan peranti mudah kotor, tetapi turut mudah tercalar.

Apabila peranti ini dibuka, ia kelihatan seakan seperti peranti biasa sahaja. Di bahagian belakang, dua kamera 12MP boleh dilihat di susun secara menegak dengan lampu LED flash, kemudian ada panel kaca untuk skrin luar, dan di bahagian tengah belakang barulah boleh nampak perubahan pada rekaan engsel yang lebih nipis.

Di sisi kiri peranti, butang fizikal aras suara dan butang kuasa merangkap pengimbas cap jari dapat dilihat. Di sisi kanan hanya ada slot kad SIM, atas hanya ada mikrofon, bawah adalah dua lagi mikrofon bersama dengan kekisi pembesar suara dan port USB-C.

Di bahagian hadapan, bezel di sekeliling nampak sangat sekata dan sedap mata memandang. Bezel atas turut mempunyai kekisi untuk gagang telinga yang juga untuk audio stereo. Pada skrin, terdapat lubang di bahagian tengah atas untuk kamera swafoto. Skrin peranti turut sedia dilindungi dengan sejenis pelindung skrin plastik. Samsung belum bersedia menggunakan kamera bawah skrin Fold4 pada skin boleh-lipat Flip4.

Dalam keadaan tertutup pula, peranti memang rasa lebih nipis. Tetapi Samsung Galaxy Z Flip4 adalah telefon pintar dengan skrin boleh-lipat yang memaksa pengguna untuk sentiasa menggunakan skrin dalam keadaan terbuka.

Dengan rekaan yang semakin nipis ini, Samsung masih mampu memuatkan bateri berkapasiti 3700 mAh yang lebih besar berbanding 3300 mAh tahun lalu. Ia turut hadir dengan cip pemprosesan paling berkuasa untuk peranti Android di pasaran sekarang iaitu Snapdragon 8+ Gen 1. Peranti kompak ini mampu memuatkan spesifikasi hebat dan berkuasa, sekali lagi antara sebab utama kenapa ia adalah peranti kegemaran saya.

Penggunaan Dan Perisian

Samsung Galaxy Z Flip4 menjalankan One UI 4.1.1 berasaskan Android 12L. Pada saya ini adalah sistem operasi Android terbaik pernah saya gunakan kerana ia amat mesra dengan skrin yang boleh-lipat. Banyak fungsi dan ciri yang memanfaatkan peranti dalam format ini lancar digunakan. Berbeza dengan sebelum ini semuanya pembangunan Samsung sendiri dan kali ini ia terus terbina dalam kod Android itu sendiri.

One UI 4.1.1 pada saya memberikan pengalaman penggunaan yang lebih baik dan lengkap untuk Z Flip4. Edge Panel menjadi berkali ganda lebih lancar dan lebih mudah menjalankan dua aplikasi serentak tanpa ada masalah lengah masa dan sela masa menggunakan kedua-dua aplikasi serentak. Malah, saya turut pernah menggunakan peranti ini untuk menulis artikel dengan satu aplikasi di atas merujuk sumber dan satu aplikasi di bawah mencatat nota.

Ciri paling baharu pada peranti ini adalah FlexCam yang meletakkan peranti dalam bentuk L dan membuka aplikasi yang ada kamera seperti Instagram, Facebook atau aplikasi kamera sendiri untuk mengawal kamera dengan lebih mudah. Mod ini turut boleh mengubah peranti menjadi bentuk perakam video jika itu sesuatu perkara yang anda ingin lakukan.

Peranti ini walaupun hanya ada 8GB RAM, ciri RAM Plus mampu menambah sehingga 8GB memori secara maya menjadikan jumlah keseluruhan memori mencecah 16GB. Saya tidak alami isu pada peranti ini seperti yang dilaporkan sebelum ini yang RAM Plus pada One UI 4.1 menjadikan prestasi peranti lebih perlahan. Malah bermain permua pada peranti ini jarang menyebabkan peranti memanas. Saya sedari ia hanya memanas jika banyak menonton video sahaja.

Pengalaman bermain permua pada peranti ini adalah memuaskan, kerana ia mempunyai mod permua yang membantu dan boleh memantau keadaan peranti. Cuma bermain permua pada peranti ini dalam jangka masa panjang memberikan saya satu kerisauan pada skrin. Ia menggunakan kaca nipis dan saya adalah seorang yang lasak jika bermain permua, apabila berang saya gemar tekan dengan kuat dan ini membuatkan saya jarang bermain permua padanya.

Penanda Aras

Saya telah melakukan beberapa ujian penanda aras pada peranti ini kerana ingin melihat apakah kemampuan peranti bersaiz kompak ini mampu lakukan. Jadi saya melakukan ujian AnTuTu 3D, Geekbench 5, dan beberapa ujian 3DMark. Pada AnTuTu 3D ia memperoleh 804,731 mata, Geekbench 5 pula 1282/3686 mata untuk satu teras dan multi-teras, 3DMark Wild Life Extreme memperoleh 2049 pada kitaran pertama dan itu mata tertinggi dan akhir sekali pada 3Dmark Sling Shot Extreme ia menerima skor Maxed Out!.

Sebagai perbandingan dengan peranti lain yang menggunakan cip Snapdragon 8+ Gen 1, mata yang diperoleh Z Flip4 nampak lemah. Tetapi perlu diingat, ujian ini semua adalah nombor semata dan pengalaman penggunaan di dunia sebenar adalah lebih penting.

AnTuTu 3D
  • Samsung Galaxy Z Flip4: 804,731
  • Samsung Galaxy Z Fold4: 980,346
  • OnePlus 10T: 918,160
  • ASUS ROG Phone 6 Pro: 1,099,5132 
Geekbench 5
  • Samsung Galaxy Z Flip4: 1282/3686
  • Samsung Galaxy Z Fold4: 1298/3963
  • OnePlus 10T: 1040/3485
  • ASUS ROG Phone 6 Pro: 1312/4191

Telefoni dan GPS

Walaupun ada sokongan 5G, saya tidak mempunyai kad SIM YES dan kawasan saya tidak mempunyai capaian yang stabil. Walaupun begitu, sambungan data biasa dilihat agak baik lebih kurang sama dengan Galaxy S22 Ultra saya. Panggilan telefon juga jelas, terang dan memuaskan kerana saya tidak alami sebarang masalah. Untuk GPS, pencarian lokasi saya sedari kadangkala mengambil masa yang sedikit lama untuk mengunci lokasi – tetapi selepas berjaya semuanya berjalan lancar.

Kamera

Peranti ini masih lagi menggunakan konfigurasi dwi-kamera 12MP yang sama dengan Z Flip3. Tetapi dengan cip Snapdragon 8+ Gen 1, ia mampu menjadikan hasil imej 65% lebih terang. Dalam ujian kami, benar hasil gambar masih ada sedikit perbezaan tetapi untuk peranti yang berharga lebih RM4000 ia adalah sistem kamera yang lema sebenarnya.

Saya akan mulakan dengan kamera swafoto di dalam skrin, yang mana ia mempunyai warna yang sedikit pudar. Kemasan mod potret juga tidak begitu cantik, tetapi butiran masih boleh dipelihara dengan baik. Dengan menggunakan Cover Screen, kamera swafoto adalah menggunakan kamera utama – di sini barulah ia nampak lebih tajam, warna yang lebih menyerlah dan kesan kabur yang lebih kemas.

Untuk kamera utama, ia bukannya teruk atau tidak boleh digunakan. Cuma ia tidak menepati citarasa saya dan saya mengharapkan ia boleh mempunyai kualiti yang lebih baik. Dalam hasil ujian saya, saya rasakan OnePlus 10T yang tidak mempunyai kamera terbaik adalah lebih baik berbanding Z Flip4.

Apa yang saya sedari adalah, warna yang dihasilkan adalah cukup terang, butiran juga masih mampu dipelihara dengan baik da fokus juga nampak bagus sekali. Hasil gambar pada peranti ini nampak standard peranti mercu Samsung tahun lepas cuma dengan cip baharu ia cuba menarik perhatian mata saya.

Bateri

Bateri 3700mAh yang digunakan dalam peranti ini adalah 300mAh lebih besar berbanding sebelumnya. Dengan saiz skrin 6.7-inci menyokong kadar segar semula 120Hz, jujur saya katakan ia adalah satu padanan yang merisaukan. Kemudian kuasa pengecasan pula adalah 25W sahaja, walaupun satu peningkatan berbanding tahun lepas – ia adalah antara yang paling perlahan untuk peranti mercu dalam pasaran.

Selepas menggunakan peranti ini barulah saya sedari tambahan 300mAh itu sebenarnya bagus. Sepanjang penggunaan, saya boleh menerima 7-8 jam SOT untuk penggunaan ringan dan pernah juga sekali mencapai sehingga 9 jam. Tetapi ia tidak konsisten kerana selepas seminggu, saya kerap menerima SOT sekitar 5-6 jam sahaja untuk penggunaan ringan dan sekitar 3-4 jam jika menggunakan kamera dan main permua.

Kuasa pengecasan 25W pula mengambil masa lebih 60 minit untuk ia cas sehingga penuh yang mana untuk saya ini adalah satu kekurangan, sedangkan peranti kelas pertengahan pun boleh menyokong sehingga 65W atau ada juga yang mencapai 120W.

Audio

Kebanyakan peranti mercu Samsung yang pernah saya gunakan, audio mereka jarang mengecewakan. Dengan peranti ini yang masih menggunakan sistem pembesar suara stereo dengan Dolby Atmos, ia juga tidak mengecewakan. Ia cukup kuat, jelas dan enak untuk menonton video dan mendengar muzik. Ia sedikit kurang seimbang, tetapi tidak begitu perasan.

Pesaing

Samsung Galaxy Z Flip4 5GOnePlus 10T 5GiPhone 14
Dalam – 6.7″ Dynamic AMOLED 2X, 120Hz, HDR10+
Luar – 1.9″ Super AMOLED
6.7″ Fluid AMOLED, 2412 x 1080 FHD+ (394 ppi), 120Hz, HDR10+6.1″ Super Retina XDR OLED, 1170 x 2532 (460 ppi), 60Hz, HDR10, Dolby Vision
Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm)
1x 3.19 GHz Cortex-X2
3x 2.75 GHz Cortex-A710
4x 1.80 GHz Cortex-A510
Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm)
1x 3.19 GHz Cortex-X2
3x 2.75 GHz Cortex-A710
4x 1.80 GHz Cortex-A510
Apple A15 Bionic (5nm)
2x 3.23 GHz Avalanche
4x 1.82 GHz Blizzard
Adreno 730Adreno 730Apple GPU
8GB LPDRR516GB LPDRR56GB
128GB, 256GB, 1TB UFS 3.1256GB UFS 3.1128/256/512 GB NVMe
Kamera Utama
12MP, f/1.8 (utama), OIS
12MP f/2.2 (sudut ultra-lebar)
Kamera Utama
50MP, f/1.8 (utama), OIS
8MP, f/2.2 (sudut ultra-lebar)
2MP, f/2.4 (makro)
Kamera Utama
12MP, f/1.5 (utama)
12MP, f/2.4 (sudut ultra-lebar)
Kamera Hadapan
10-Megapixel f/2.4
Kamera Hadapan
16-Megapixel f/2.4
Kamera Hadapan
12-Megapixel f/1.9
IPX8TiadaIP68
Tiada bicu audioBicu audio 3.5mmTiada bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
3700 mAh (Berwayar 25W)4500 mAh (Berwayar 30W)3279 mAh (Berwayar 20W)
RM4,099 (8/128 GB)
RM4,299 (8/256 GB)
RM4,899 (8GB, 1TB)
RM4,599 (Bespoke 8/256 GB)
RM3,199 (16/256 GB)RM4,199 (6/128 GB)
RM4,
699 (6/256 GB)
RM5,699 (6/512 GB)

Kesimpulan

Di pasaran Malaysia, Samsung Galaxy Z Flip4 bukan lagi peranti dengan skrin boleh-lipat termurah kerana Z Flip3 masih dijual pada harga lebih murah. Tetapi ia adalah versi yang paling padat dan yang paling berkuasa anda boleh dapatkan. Untuk saya yang pernah menggunakan Z Flip generasi pertama, Z Flip4 adalah satu perubahan besar yang memuaskan hati saya. Tetapi jika dibandingkan dengan Z Flip3, tidak banyak beza yang ketara sebenarnya.

Sepanjang penggunaan saya, saya berpuas hati dengan peranti ini. Seperti yang saya katakan tadi, peranti ini adalah peranti kegemaran saya tahun ini. Kenapa? Penggunaan peranti ini membuatkan saya teringat kepada peranti Pixel. Prestasi yang sangat lancar seakan Android asli, walaupun One UI adalah satu tema yang berat dan ceria. Ia pantas dan memudahkan kerja-kerja saya, semua aplikasi Google mesra dengan peranti ini.

Jika anda ada RM4,099, Samsung Galaxy Z Flip4 adalah sebuah peranti yang baik. Ia mahal RM100 berbanding pelancaran model sebelum ini, tetapi untuk penggunaan gaya hidup dan media sosial, untuk rasa sesuatu yang lain, dan inginkan keistimewaan yang tiada pada peranti lain – peranti ini mungkin akan memadai untuk anda jika kamera bukan satu kerisauan. Setakat penggunaan saya, hanya kamera sahaja yang mengecewakan.

Pro

  • Skrin yang pantas, cantik dan lebih baik.
  • Perlindungan IPX8.
  • Prestasi yang mantap, hebat dan memuaskan.
  • Rekaan yang lebih padat dan selesa di tangan.
  • Perisian yang lebih mesra dengan peranti sebegini.
  • Kualiti gambar yang baik dan lebih terang.

Kontra

  • Ketahanan bateri yang tidak konsisten.
  • Sistem pengecasan yang agak perlahan untuk peranti tahun 2022.
  • Sistem kamera lama yang diguna semula.
  • Skrin luar yang masih terlampau kecil untuk digunakan.
  • Harga jualan yang masih mahal.
Komen