Redmi 10 5G telah mula ditawarkan buat para pengguna di Malaysia dan ia dilengkapi rangkaian 5G terbina dengan janaan cip MediaTek Dimensity 700. Di Malaysia, ia ditawarkan pada harga RM959 tetapi boleh dimiliki pada harga serendah RM1/sebulan melalui pelan pascabayar Maxis Zerolution.
Melaluinya, pelanggan Maxis Postpaid 188 melalui pelan Zerolution 36 bulan boleh memiliki Redmi 10 5G dengan hanya RM1/bulan. Ia kemudiannya meningkat kepada RM19/bulan melalui Postpaid 158, RM29/bulan untuk Postpaid 128, RM36/bulan dengan Postpaid 98 dan RM39/bulan menerusi Postpaid Share 48.
Kesemua pilihan turut didatangkan dengan kuota data bulanan berbeza mengikut pelan yang dipilih oleh pelanggan. Dalam masa sama, penawaran panggilan dan SMS tanpa had turut disediakan untuk kesemua pelan. Menurut wakil Xiaomi, ia ditawarkan menerusi Maxis terlebih dahulu buat masa ini sebelum diperluaskan lagi pada sebilangan syarikat telekomunikasi tempatan lain di masa-masa mendatang.
Redmi 10 5G dilengkapi skrin sebesar 6.58-inci dengan padanana cip MediaTek Dimensity 700. Memori pula 6GB RAM dan storan dalaman 128GB. Kapasiti bateri yang digunakan pula sebesar 5000mAh, dalam masa sama turut menjalankan MIUI 13 berasaskan Android 12. Kamera utama pula 50MP + 2MP dan kamera swafoto sebesar 5MP.