Pendapat peribadi saya sendiri, Dynamic Island pada iPhone 14 Pro adalah ciri paling cool pernah saya lihat Apple tawarkan. Mereka akhirnya melakukan sesuatu pada takuk di skrin atau kini lubang agar ada fungsi yang menarik.
Dynamic Island boleh menjadi paparan mini untuk memaparkan detik masa, muzik yang sedang dimainkan serta berubah menjadi tetingkap kecil untuk beberapa aplikasi terpilih. Dalam dunia Android, yang sudah bertahun mempunyai skrin berlubang tiada siapa terfikir mengenainya.
Ada pembangun bebas hadir dengan aplikasi seperti Energy Ring yang memanfaatkan lubang skrin peranti dengan menambah gegelung berwarna mimik seakan lampu LED notifikasi. Kini seorang pembangun telah hadir dengan tema MIUI untuk mengubah talam notifikasi peranti Xiaomi menjadi seakan Dyanmic Island. Berdasarkan demonstrasi ia dilihat berfungsi dengan baik dan lancar.
Cuma tema ini tidak tersembunyi di lubang kamera, sebaliknya mempunyai bentuk bujur hitam di sisi yang boleh ditekan dengan animasi dan rekaan mirip apa yang Apple lakukan. Tema ini juga terhad dalam bahasa Cina sahaja buat masa ini.
Tema ini boleh didapatkan melalui gedung tema Xiaomi di bawah nama Grumpy UI. Buat masa ini ia masih lagi dalam fasa menantikan kelulusan Xiaomi. Xiaomi mungkin akan menghalang tema ini, seperti Dynamic Island Style theme by sugertheme yang telah dibuang.