Televisyen Pintar Infinix Zero 55″ QLED Dan 50X3 Bakal Diperkenalkan Tidak Lama Lagi

Diterbitkan pada Sep 12, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Infinix turut dikenali sebagai pengeluar televisyen pintar, namun ia terhad untuk beberapa pasaran sahaja buat masa ini. Begitu juga apabila sebelum ini ada ura-ura mengenai kehadirannya ke pasaran Malaysia tetapi sehingga kini masih diam tanpa sebarang kemas kini lanjut.

Dalam perkembangan terkini, ada beberapa model baharu yang bakal diperkenalkan dalam masa terdekat ini. Dikenali sebagai Infinix Zero 55″ QLED dan 50X3, kedua-duanya telah tertiris dalam beberapa imej promosi tular. Ia menunjukkan televisyen ini kelak menyokong paparan beresolusi 4K.

Selain itu, Zero 55-inch QLED juga dilengkapi dengan skrin berteknologi Quantum Dot yang menyokong Dolby Vision, kecerahan puncak 400 nits dan gamut warna sRGB 122%. Turut disertakan adalah CPU empat-teras MediaTek, memori 2GB RAM, storan dalaman 32GB dan menjalankan antaramuka Android TV 11. Tidak ketinggalan, sistem pembesar suara 36W dengan sokongan Dolby Atmos turut dimuatkan pada televisyen ini.

Seterusnya, Infinix 50X3 pula mempunyai skrin bersaiz 50-inci bersama ciri dan fungsi seumpama beberapa model di bawah siri X3 sebelum ini. Turut disertakan adalah skrin beresolusi 4K dengan sokongan HDR10 dan saiz bezel yang nipis. Bukan itu sahaja, sistem pembesar suara dengan output 24W dengan Dolby Audio turut digunakan.

Tiada maklumat lanjut mengenai harga jualan yang diketahui setakat ini, tetapi kedua-duanya dijangka ditawarkan dengan harga yang berpatutan. Ini adalah selari dengn Infinix yang seringkali meletakkan julat harga cukup mampu milik. Untuk lebih lanjut nantikan pelancarannya pada 16 September 2022.

komen


© Amanz / 2022 Kami