Penggunaan memori maya telah lama digunakan dalam industri teknologi. Ia sudah bertahun lamanya ada dalam Windows, kemudian pengeluar peranti dari China mula menyertakan ciri ini pada peranti mereka membolehkan RAM pada telefon pintar dikembangkan ke sekali atau dua kali ganda.
Contoh pada Samsung, ciri ini adalah RAM Plus dan pada Galaxy Z Flip4 saya yang 8GB RAM ia boleh berubah menjadi 16GB secara keseluruhan dengan pengguna bebas memilih jumlah yang ingin digunakan. Ini kerana memori maya ini akan menggunakan baki storan dalaman peranti pengguna.

Terkini, ciri RAM Plus pada Samsung dikatakan tidak membantu meningkatkan prestasi peranti sebaliknya menjadikan peranti beroperasi pada kadar lebih perlahan dengan prestasi yang semakin menurun. Masalah ini mula berlaku selepas kemaskini One UI 4.1 pada peranti seperti Galaxy S22 Ultra.
Galaxy S20 dan Galaxy M53 5G juga dilaporkan berlaku masalah yang sama. Ini turut berlaku pada kedua-dua versi iaitu Exynos dan Snapdragon jika model peranti tersebut ada variasi berbeza. Selepas ramai melaporkan masalah ini hanya berlaku sejak kemaskini ke One UI 4.1.

Apa yang menjadikan masalah besar adalah, RAM Plus tidak boleh dimatikan dan akan diaktifkan secara automatik sama ada kita inginkannya ataupun tidak. Hanya dalam One UI 5 akan datang, Samsung akan memberi pilihan kepada pengguna untuk hidup atau matikan ciri ini.
Dalam ujian saya, Z Flip4 dan Galaxy S22 Ultra yang dijana Snapdragon 8+ Gen 1 dan Snapdragin 8 Gen 1 dengan One UI 4.1 – masalah ini masih tidak berlaku pada saya walaupun dengan RAM Plus pada kadar maksima digunakan. Anda pula bagaimana?