Cari @ Amanz

Sony Xperia 1 IV Gaming Edition telah dilancarkan sekali dengan Sony Xperia Stream. Model telefon pintar mercu ini masih lagi mempunyai spesifikasi yang sama dengan Sony Xperia IV biasa cuma hadir dengan memori 16GB yang lebih besar berbanding hanya 12GB sebelum ini.

Sony Xperia 1 IV hadir dengan skrin OLED 6.5-inci dengan paparan resolusi 4K, selain kadar segar semula 120Hz. Sony mengekalkan penggunaan nisbah 21:9 pada telefon pintar ini, dan turut menekankan ia menawarkan paparan dengan pewarnaan yang jitu.

Menjana ia juga adalah cip Snapdragon 8 Gen 1, serta dilengkapi sokongan rangkaian 5G. Ia hadir dengan memori sebanyak 16GB RAM, selain storan 512GB. Pengguna turut boleh meluaskan storan melalui penggunaan mikro-SD.

Dari segi kamera pula, ia menyertakan tri-kamera 12-megapixel di belakang, selain turut menggunakan kamera 12-megapixel untuk swafoto. Sony turut bekerjasama dengan pihak ZEISS untuk lensa kamera mereka.

Melengkapkan telefon pintar ini adalah ciri Game Enhancer – yang membolehkan pengoptimasian untuk permua, termasuk kemudahan untuk melakukan penstriman permainan ke YouTube. Ciri lain seperti sokongan bicu-audio 3.5mm, kalis air IP65/68, dan juga butang fizikal untuk kamera turut dikekalkan pada telefon pintar ini. Di Jepun Sony Xperia IV Gaming Edition dijual pada harga 175,000 Yen (~RM5554) sebuah.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd