Cari @ Amanz

Siri Find X merupakan barisan peranti berspesifikasi mercu daripada Oppo. Setakat ini Oppo telah melancarkan sehingga empat siri berbeza dan setiap satu daripadanya disertakan penawaran berbeza bagi menjadikanya berada dalam kelas tersendiri. Misalnya seperti tubuh yang premium dan perkakasan dalaman serba baharu.

Terkini, muncul pula desas-desus mengenai kewujudan model kemaskini untuk siri berkenaan. Ia dijangka tiba dengan dua variasi berbeza merangkumi Find X6 dan Find X6 Pro yang dikhabarkan hadir dengan cip pemprosesan Snapdragon siri-8 yang berbeza. Menurut jangkaan awal, cip Snapdragon 8+ Gen 1 akan digunakan pada Find X6 sementara itu variasi pro pula dikhabarkan tiba dengan cip Snapdragon 8 Gen 2.

Cip ini bagaimanapun masih belum diumumkan secara rasmi tetapi desas-desus mengenai konfigurasinya sudah kedengaran. Melaluinya, ia akan menggunakan konfigurasi 1+2+2+3 teras dengan 1X Cortex X2, 2X Cortex-A720, 2X Cortex-A7210 dan 3X Cortex-A510. Ini dipadankan pula dengan GPU Adreno 740. Ia juga akan dihasilkan menggunakan teknologi 4nm seumpama Snapdragon 8+ Gen 1.

Seterusnya kedua-dua peranti juga mungkin menggunakan skrin dengan resolusi yang berbeza. Di mana, Find X6 akan dilengkapi skrin 1.5K manakala variasi pro pula beresolusi 2K. Dalam pada itu, terdapat juga laporan lain yang mendakwa Find X6 Pro akan menggunakan sensor bersaiz 1-inci. Namun masih belum jelas mengenai sensor apa yang bakal digunakan kelak.

Seperti biasa, harus ditegaskan maklumat dikongsi masih lagi di peringkat ura-ura. Sama-sama kita nantikan perkembangan lebih lanjut mengenainya dari masa ke semasa.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd