Cari @ Amanz

Jika anda seorang pembaca buku tegar, anda pastinya biasa dengan penawaran pembaca buku elektronik (e-book) seperti yang ditawarkan oleh jenama-jenama seperti Kobo dan juga Kindle.

Terkini, Rakuten, syarikat pemilik disebalik jenama peranti e-book Kobo telah mengumumkan bahawa mereka telah mula menawarkan peranti-peranti mereka di pasaran tempatan secara rasmi, termasuklah Kobo Clara 2E, Kobo Nia, Kobo Libra 2 dan Kobo Sage.

Kobo Clara 2E dilihat peranti utama yang diketengahkan oleh Rakuten di Malaysia, yang mana ia mempunyai paparan skrin e-ink bersaiz 6 inci dengan rangka yang diperbuat daripada bahan-bahan kitar semula dan mempunyai jangkahayat bateri beberapa minggu dengan satu pengecasan penuh.

Ia juga hadir dengan storan terbina sebesar 16GB yang boleh memuatkan sebanyak 12 ribu buku elektronik ataupun sekitar 75 fail Kobo Audiobook yang boleh diakses pada bila-bila masa dengan pembesar suara terbina ataupun menggunakan fon telinga menggunakan sambungan Bluetooth.

Lebih menarik lagi, Kobo Clara 2E ini juga hadir dengan sokongan kalis air selama 60 minit didalam air dengan kedalaman dua meter, baik untuk anda yang mahu membaca apabila keluar berkhemah dan sebagainya.

Melalui laman web Kobo.com, Pengarah Urusan Eksekutif Ingram Micro Malaysia, Devan Parinpanayagam mengatakan bahawa pengguna pembaca Rakuten Kobo mempunyai berpuluh ribu pilihan bahan bacaan tempatan dan antarabangsa dalam pelbagai bahasa.

Kobo Clara 2E dan juga pembaca-pembaca buku elektronik yang lain juga sudah mula ditawarkan di Malaysia melalui Kobo.com, dan kedai-kedai pengedar fizikal seperti Mono Digital, All IT Hypermarket, Flash Gadgets, Quantum Gadgets, Popular Malaysia, dan SMB + Enterprise pada harga-harga berikut:

  • Rakuten Kobo Clara 2E – RM699
  • Rakuten Kobo Nia – RM499
  • Rakuten Kobo Libra 2 – RM929
  • Rakuten Kobo Sage – RM1299
© 2023 Amanz Media Sdn Bhd