Cari @ Amanz

GoPro sebentar tadi telah melancarkan kamera aksi baharu mereka, GoPro Hero11 Black dan juga versi kompak baharu Hero11 Black Mini. Apa yang menarik dengan kedua-dua GoPro ini adalah, ia menggunakan spesifikasi yang sama dengan beza hanya pada skrin dan bateri.

GoPro Hero11 Black masih lagi menggunakan rekaan dan tubuh yang sama dengan Hero 10 Black sebelum ini. Malah beza yang jelas hanyalah nombor 10 berubah ke 11. Hero11 Black kini terus menggunakan bateri Enduro yang sebelum ini dijual berasingan untuk model lama. Kemudian, pengguna juga tidak lagi perlu melanggan perkhidmatan langganan GoPro untuk menggunakan ciri video highlight.

Kamera pada pula adalah lebih baik dengan sensor 27MP yang menyokong warna 10-bit dan boleh melakukan rakaman bingkai penuh pada nisbah 8:7 dengan resolusi 5.3K. Bercakap mengenai bingkai penuh, mod HyperView diperkenalkan yang memuatkan rakaman pada nisbah paparan 16:9. GoPro turut menyertakan sokongan rakamn video pusingan 360 darjah yang dikunci secara mendatar pada kadar 5K30FPS.

Mod rakaman lain adalah resolusi video 5K/60FPS, 4K120FPS, dan rakaman gerak-masa Vehicle Lights, Star Trails dan Light Pain. Sistem penstabilan video HyperSmooth juga dikemasakini dengan sokongan Auto Boost untuk menstabilkan pergerakan yang lebih lasak.

Untuk GoPro Hero11 Black Mini, jelas kelihatan yang GoPro cuba kembalikan model Session mereka. Tetapi menarik untuk Hero 11 Black Mini adalah dalamannya tiada beza spesifikasi dengan model mercu mereka. Beza yang ada pada model kompak ini hanyalah bateri tidak boleh tanggal, skrin lebih kecil dan mempunyai dua butang fizikal untuk kawalan.

Harga jualan untuk Hero 11 Black adalah $499.99 iaitu sekitar RM2,264, sementara Hero 11 Black Mini pula dijual pada harga $399.99 iaitu sekitar RM1,811. Buat masa ini, harga jualan untuk pasaran Malaysia masih belum diumumkan lagi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd