Cari @ Amanz

Percutian ke angkasa lepas akan menjadi lenturan media sosial yang tertinggi kerana hanya golongan 1% mampu untuk membayar tiket yang ditawarkan oleh SpaceX, Blue Origin dan Virgin Galactic. Selepas angkasa lepas seterusnya percutian ke bulan sebelum ke Marikh pula akan ditawarkan. Bagi golongan marhaen ini dilihat sebagai sesuatu yang mustahil oleh itu firma Moon World Resort ingin menawarkan pengalaman berada di bulan di muka bumi.

Moon World Resort ingin membina Moon – bangunan berbentuk seperti bulan di beberapa lokasi dunia. Di dalam kubah gergasi Moon, pelawat boleh mempunyai pengalaman seperti bercuti di sebuah koloni di permukaan bulan. Sebuah permukaan bulan palsu akan dibina dengan pelawat boleh memenuhi impian mengikut jejak Neil Armstrong.

Kubang sfera gergasi Moon mencapai ketinggian 224 meter dengan ia akan dilengkapi pusat percutian, hotel, restoran, pusat membeli belah dan kasino. Selain itu 300 unit rumah mewah turut akan dijual kepada pembeli yang berminat.

Pihak Moon World Resort ingin membina satu Moon di setiap benua seperti sebuah Disneyland. Lokasi Moon pertama belum lagi disahkan tetapi Dubai dilihat sebagai calon yang paling sesuai untuk projek peranginan yang unik ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd