Cari @ Amanz

Sejajar dengan kemodenan teknologi hari ini, sambungan internet juga dilihat semakin pantas dari tahun ke tahun, dengan beberapa lokasi di dunia hadir dengan rangkaian sepantas 100Gbps dan penawaran internet pengguna sepantas 10Gbps bukanlah satu angan-angan sahaja.

Fujitsu, sebuah syarikat teknologi yang cukup dikenali dari Jepun baru-baru ini mengumumkan bahawa mereka telah memperlihatkan teknologi gentian optik baru yang hadir dengan kebolehan menghantar data sepantas 1.2Tbps ataupun data sebanyak enam cakera Blu-Ray sebesar 256GB setiap saat.

Teknologi baru ini dilihat bukan sahaja membolehkan data untuk dihantar pada kadar yang sangat pantas, tetapi juga membolehkannya dihantar pada jarak yang lebih jauh dan dengan penggunaan kuasa elektrik yang jauh lebih rendah (1.2mW/1Gbps).

Pihak Fujitsu mengatakan bahawa teknologi ini dicipta dengan menggabungkan penggunaan sistem penyejukan cecair dan juga sistem kecerdasan buatan untuk memastikan bahawa pemancaran data adalah lebih sekata dan penggunaan tenaga adalah lebih optimum.

Fujitsu mengatakan juga bahawa pemancaran gentian optik secara lazimnya tidak dioptimumkan kerana pada asasnya teknologi tersebut sudahpun boleh memberikan kadar penghantaran data yang laju, dan penaiktarafan dari segi bahan yang digunakan juga secara langsung dan tidak langsung memesatkan lagi kadar ini.

Tetapi dengan menggunakan kecerdasan buatan, Fujitsu berjaya memperlihatkan peningkatan kadar penghantaran data yang paling pesat setakat ini, dan tanpa perlu meningkatkan kos yang begitu banyak.

Mereka menjangkakan bahawa teknologi ini akan mula digunakan dengan lebih meluas pada tahun 2023, khususnya dengan rangkaian 5G yang semakin meluas di seluruh dunia.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd