Peranti dengan skrin-boleh-lipat dilihat semakin meluas penawarannya dalam kalangan pengguna hari ini. Khususnya peranti daripada Samsung dan Huawei yang turut dipasarkan secara global.
Tidak dilupakan juga sejumlah pengeluar lain seperti Xiaomi, Oppo, Vivo, Motorola dan Honor yang juga mempunyai peranti sebegini tetapi ketersedian terhad di China.

Hal ini jelas menunjukkan bahawa era ini dilihat dimanfaatkan secara meluas oleh kebanyakan pengeluar, namun lain pula ceritanya dengan Realme. Tidak dinafikan, ura-ura mengenai peranti dengan skrin boleh lipat Realme sudah kedengaran kedengaran sejak sekian lama. Bermula dengan imej lakaran tular, kemudian diikuti dengan laporan mengenai eksperimen secara dalaman. Bagaimanapun, ada laporan terkini menyatakan peranti sedemikian tidak akan hadir dalam masa terdekat ini.

Realme dikatakan ada kemungkinan untuk menawarkannya tetapi bukan dalam masa terdekat ini. Malahan, mereka juga tidak mempunyai garis masa khusus untuk penghasilannya. Hal ini disebabkan oleh beberapa faktor seperti target penggunanya yang dikatakan belum bersedia untuk menerima peranti sedemikian. Dalam masa sama, terdapat juga kebarangkalian tinggi peranti sedemikian tidak menjadi pilihan utama untuk pengguna sasarannya.
Kemudian, kos pembuatannya yang lebih tinggi berbanding peranti biasa juga boleh menjadi salah satu faktor penghalang. Tambahan pula, sasaran utama Realme lebih kearah peranti premium dengan harga jualan berpatutan. Bukan itu sahaja, sebilangan isu seperti paparan yang tidak tahan lasak, lipatan pada skrin yang menonjol dan lain-lain turut menjadi penghalang dalam penggunaan peranti-boleh lipat.