Carian
Pemilik iPhone 14 Pro Melaporkan Isu Kamera Bergetar Apabila Digunakan
September 19, 2022 Effi Saharudin

Apple iPhone 14 Pro dan 14 Pro Max baru sahaja diterima pengguna yang melakukan pra-tempahan di beberapa pasaran terpilih minggu lalu. Sebagai peranti paling mercu, pastinya pemilik ingin mempunyai pengalaman penggunaan yang terbaik. Tetapi di media sosial dan Reddit, terdapat sebilang kecil pemilik peranti ini melaporkan isu kamera yang bergetar menyebabkan gambar dan video yang stabil tidak boleh diambil.

Kamera peranti turut mengeluarkan bunyi getaran yang agak ketara. Ini petunjuk awal bahawa isu berkaitan dengan sistem penstabilan imej optikal (OIS) yang digunakan pada siri iPhone 14 Pro. Berita baik di sini ialah isu hanya dilaporkan berlaku apabila kamera diakses menggunakan aplikasi pihak ketiga dan bukan isu apabila aplikasi kamera iOS digunakan.

Antara aplikasi yang terjejas ialah Snapchat dan TikTok. Maka kemungkinan isu ini diselesaikan sekiranya aplikasi dikemaskini adalah tinggi. Pihak Apple masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai isu kamera bergetar pada waktu ini.

Komen