ASUS ROG Phone 6D Dan 6D Ultimate Kini Rasmi Dengan Dimensity 9000+

Diterbitkan pada Sep 19, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

ASUS ROG Phone 6D dan 6D Ultimate telah dilancarkan hari ini dengan cip MediaTek Dimensity 9000+ menggantikan cip Snapdragon 8+ Gen 1 yang digunakan pada dua model terdahulu yang dilancarkan pada bulan Julai. Tiada perubahan lain dilakukan kecuali pada pemproses yang digunakan.

Maka ia masih lagi menggunakan srin 6.78″ AMOLED FHD+ dengan kadar segar semula mencecah 165Hz. Skrin yang sama menyokong paparan HDR10+ untuk keterangan yang maksimum. Bagi mengelakkan lubang kamera merosakkan pengalaman permainan, kamera swafoto diletakkan pada bahagian dahi dengan dagu peranti juga agak besar.

Ini dipadakan pula dengan cip Dimensity 9000+, memori 16GB RAM, storan sehingga 512GB dan bateri sebesar 6000 mAh dengan sokongan pengecasan pantas 65W. Kamera utama menggabungkan sensor 50MP sudut lebar, 13MP ultra sudut lebar dan makro 5MP. Sementara itu kamera swafoto pula sebesar 12MP yang diletakkan pada bahagian dahi skrin.

Ciri utama ROG Phone 6 ialah butang bahu kapasitif Air Trigger yang boleh digunakan sebagai butang tambahan untuk permua. Terdapat juga dua port pengecasan USB-C. Satu di bahagian bawah dan satu lagi di bahagian sisi untuk memudahkan peranti di cas ketika sedang digunakan secara mendatar.

Sebuah bicu audio 3.5mm turut disertakan yang menjadikan peranti ini unik kerana ini adalah ciri yang semakin pupus. Tambah menarik peranti kalis percikan air kerana melepasi piawaian IPX4.

Perbezaan pada model 6D dan 6D Ultimate terletak pada konfigurasi storan dengan kedua-duanya dilengkapi 16GB RAM tetapi 6D dipadankan dengan 256GB storan manakala 6D Ultimate pula dengan 512GB storan.

Panel belakang kedua-dua peranti juga berbeza. Pada ROG Phone 6D terdapat panel RBG LED manakala pada 6D Ultimate pula skrin ROG Vision PMOLED digunakan. Satu lagi keunikan 6D Ultimate ialah terdapat lubang udara yang terbuka untuk memberikan penyejukan yang lebih baik apabila dipadankan dengan sistem kipas penyejuk AeroActive Cooler 6. Kerana rekaan peranti adalah sama dengan ROG Phone 6 dan Phone 6 Bro, aksesori yang sama masih boleh digunakan.

Harga jualan untuk ASUS ROG Phone 6D ialah £799 (~RM4136) dan ASUS ROG Phone 6D Ultimate pula ialah £1199 (~RM6207).

komen


© Amanz / 2022 Kami