HP telah melancarkan mesin pencetak SitePrint yang direka khusus untuk melukis pelan lantai di tapak pembinaan. Dengan SitePrint, pelan yang tepat boleh dilukis bagi mengelakkan sebarang kesilapan dilakukan semasa bangunan dibina atau dalam proses ubahsuai.

Biasanya proses untuk melukis pelan tapak yang tepat adalah proses yang merumitkan kerana perlu dilakukan sendiri secara manual oleh pekerja. Dengan SitePrint, sebuah ruang lantai sebesar 2400 kaki persegi boleh dilukis dalam masa 7 minit sahaja berbanding beberapa jam menggunakan tenaga kerja manusia. Pengguna hanya perlu memuat naik lukisan CAD ke SitePrint dan sistem LiDAR dan sensor akan memastikan lukisan pada skala yang betul dicetak pada permukaan lantai.
Sebelum dilancarkan, SitePrint telah diuji di 80 tapak pembinaan sebenar bagi melihat keberkesanannya dan juga jenis dakwat yang boleh digunakan pada permukaan lantai yang berbeza. HP SitePrint kini dilancarkan di Amerika Syarikat terlebih dahulu sebelum ia akan dijula ke pasaran global di masa hadapan.