Cari @ Amanz

Semalam, NVIDIA telah melancarkan dua kad grafik siri baru GeForce RTX 4000 terbaru mereka, iaitu NVIDIA GeForce RTX 4090 dan juga NVIDIA GeForce RTX 4080 dengan pilihan memori GDDR6X 16GB dan juga 12GB.

Sama seperti kad-kad grafik mereka sebelum ini, khususnya untuk RTX 1000-3000, kad-kad grafik ini juga akan hadir dengan pilihan Founders Edition yang tampil dengan rekaan khas NVIDIA sendiri. Untuk model RTX 4090 dan RTX 4080 ini, mereka dilihat hadir dengan bongkah penyejukan dan juga kipas penyejuk yang lebih besar.

Kedua-dua kad grafik ini juga tampil dengan penggunaan palam kuasa 16-pin ATX 3.0 PCIe 5.0 yang baru, membolehkan kuasa elektrik setinggi 450W dialirkan kepada kad grafik ini menggunakan satu kabel sahaja.

Menurut NVIDIA, hanya kad grafik GeForce RTX 4090 dan GeForce RTX 4080 dengan 16GB memori akan hadir dengan model Founders Edition dan akan dijual bermula 12 Oktober untuk RTX 4090 dan pada bulan November untuk model RTX 4080. Model RTX 4080 dengan 12GB memori hanya akan dijual melalui pembangun kad grafik seperti ASUS, MSI, GIGABYTE dan sebagainya.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd