Tile adalah jenama yang terkenal dengan produk penjejak objek. Mereka sudah lama hadir dengan produk seperti ini sebelum Apple hadir dengan AirTag lagi. Tetapi mengesan penjejak objek ini ada potensi untuk mengancam privasi pengguna.
Untuk menyelesaikan isu ini, Tile baru-baru ini melancarkan pelekat kod QR untuk menjejak objek yang hilang. Apa yang aneh di sini adalah, ia adalah pelekat biasa sahaja dengan kod QR yang mengandungi maklumat untuk menghubungi pemilik objek.

Pelekat yang digelar sebagai Lost and Found Label ini tiada sebarang komponen elektronik, tiada cip Bluetooth atau UWB dan bergantung sepenuhnya kepada kepercayaan orang awam. Ini bermakna, jika anda melekatkan pelekat ini pada bagasi dan bagasi anda hilang – anda perlu yakin yang akan ada orang awam imbas kod QR dan menghubungi anda kembali untuk memulangkan bagasi tadi.
Lost and Found Labels ini dijual pada harga $14.99 (~RM68) untuk tiga helai, di mana setiap helaian mempunyai lima keping pelekat.