Sistem operasi Android sudah lama menyokong penggunaan aplikasi papan kekunci pihak ketiga. Sokongan ini hanya tiba ke iPhone bermula dengan iOS 8, itu pun masih terhad dan tidak menyokong banyak ciri dan fungsi seperti peranti Android.
Kemudian dengan iOS 16, Apple akhirnya mengemaskini papan kekunci mereka untuk menyokong kesan getaran haptik apabila setiap kekunci ditaip. Ciri ini juga sudah sedia lama disokong pada peranti Android dan aplikasi papan kekunci Gboard untuk iOS pun turut sudah menyokong tindak balas haptik ini.
Dengan iOS 16 yang sudah stabil dan tiba kepada semua iPhone yang layak, Apple hadir dengan laman web khas mengenai cara mengaktifkan kesan haptik ini. Di laman ini, Apple memberi amaran yang jika haptik diaktifkan bateri iPhone akan cepat habis.
Sejak saya menggunakan iOS 16 beta, saya tidak lagi menggunakan Gboard pada iPhone. Tetapi dalam penggunaan saya, saya tidak perasan kadar penurunan bateri ketika mengaktifkan haptik papan kekunci iPhone kerana ketahanan bateri iPhone 13 Pro saya masih lebih kurang sama dengan iOS 15 sebelum ini.
iPhone anda pula bagaimana?