Cari @ Amanz

Xiaomi Civi merupakan barisan peranti pintar yang memberi fokus terhadap gaya hidup. Melaluinya, ia bukan sahaja mempunyai kemasan tubuh yang premium dan serba nipis. Malahan, kebolehan kamera swafoto juga cukup menarik.

Bercakap dengan lebih lanjut, desas-desus mengenai kewujudan model baharu untuk siri tersebut iaitu Xiaomi Civi 2 telah diperkatakan sejak sebelum ini. Enggan terus berteka-teki, Xiaomi kini memuat naik poster pelancaran rasmi untuknya menerusi kemas kini baharu di Weibo. Civi 2 akan dilancarkan di China pada 27 September 2022 dan dakwaan yang mengatakan ia masih memberi tumpuan terhadap kemasan dilihat seakan benar.

Ia berikutan sebahagian kemasan pada peranti telah diperlihatkan menerusi perkongsian yang sama. Ia menunjukkan panel belakang peranti dalam kemasan serba putih bersama motif berbentuk jalur yang menarik.

Bukan itu sahaja, tubuh peranti ini juga dilihat nipis dengan rekaan sisi dibulatkan untuk keselesaan dalam tangan. Xiaomi menyatakan Civi 2 akan mempunyai reka bentuk yang mengikut trend semasa, dalam masa sama sistem pengimejan turut akan dinaik-taraf.

Tiada maklumat mengenai spesifikasi yang dikongsi setakat artikel ini ditulis. Tetapi jangkaan awal mengatakan ia mungkin dibekalkan skrin dengan olahan warna lebih baik dan dijana oleh cip Snapdragon 7 Gen1 berteknologi 4nm.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd