Astro hari ini telah mengumumkan yang kotak TV Ultra Box mereka mula menyokong tiga lagi aplikasi penstriman video, iaitu beIN SPORTS CONNECT, iQIYI dan TVBAnywhere+. Jika sebelum ini iQIYI hanya boleh diakses melalui saluran khas, kini mereka yang gemarkan kandungan Asia boleh terus menstrim melalui aplikasi yang tersedia.

Dengan iQIYI juga, pengguna boleh menerima akses kepada pelbagai drama Cina, Melayu dan juga anime seperti One Piece. Sempena penawaran aplikasi ini pada kotak TV Astro Ultra Box, langganan VIP Standard dan VIP Premium boleh didapatkan pada harga RM4.90 untuk bulan pertama dan terus menerima diskaun pada bulan seterusnya dengan harga RM8.90 dan RM12.90.

Untuk beIN SPORTS CONNECT pula, mereka yang melanggan pek TV Astro dengan pakej Sports akan boleh terus mengakses aplikasi penstriman ini. beIN menawarkan 3000 jam acara sukan tenis siaran langsung termasuk Piala ATP dan Piala Laver dan untuk peminat liga bola sepak Eropah pula, perlawanan UEFA Champions League dan UEFA Europa League siaran langsung turut boleh diakses.

Akhir sekali, aplikasi TVBAnywhere+ pula akan menawarkan akses kepada pelbagai kandungan daripada Hong Kong (TVB) dengan lebih 40,000 jam hiburan Cina popular.
Untuk mengakses ketiga-tiga aplikasi baharu Astro Ultra Box ini, pengguna hanya perlu tekan butang Home pada alat kawalan jauh dan pergi ke senarai aplikasi. Kesemuanya akan disenaraikan terus dan jika ada langganan aktif anda boleh terus menstrim kandungan yang diingini.