Sebelum ini kami pernah melaporkan mengenai tablet Redmi Pad yang dikhabarkan menyokong 5G terbina. Terkini, ia sekali lagi tertiris menerusi gambar yang dimuat naik oleh Xiaomi Kuwait. Perkongsian asal di Instagram bagaimanapun telah dipadam tetapi tangkapan layar sempat diambil dan kini tular di media sosial.

Ia menunjukkan Redmi Pad dalam kemasan serba hijau yang dinamakan sebagai Mint Green. Sebagai pilihan, beberapa pilihan warna lain turut ditawarkankan kelak seperti Graphite Grey dan Moonlight Silver. Rekaan pula dilihat mempunyai persamaan dengan imej tular sebelum ini, di mana panel belakang memuatkan modul kamera berbentuk segi empat bersama penjenamaan Redmi.

Dalam perkembangan berbeza, terdapat beberapa pilihan memori dan storan yang ditawarkan seperti 3GB/64GB, 4GB/64GB atau 4GB/128GB. Bukan itu sahaja, ia juga dikhabarkan tiba dalam variasi LTE dan Wi-FI. Jangkaan lain-lain spesifikasi termasuklah skrin LCD 11.2-inci 2K, menjalankan MIUI Pad 13 (berasaskan Android 12), bateri 7800mAh, sistem pengecasan 22.5W dan kamera utama 8MP.